Monday, 30 July 2012

Ramadan: Fasa Satu

Genap sepuluh hari

Bukan sengaja mahu menghitung hari, tapi sebagai peringatan bahawa apakah, bagaimanakah dan banyak manakah amalan yang telah kita lakukan sepanjang fasa pertama Ramadan ini. Saya mengiyakan kata-kata Mufti Ismail Menk ini:

Usah menghitung hari yang berlalu di dalam Ramadan, 
tapi jadikan lah hari-hari ramadan ini terhitung amal di dalamnya.

Ilmu perlu dicari

Sepanjang Ramadan ini, Alhamdulillah berpeluang duduk dipayungi malaikat bersama jemaah yang lain di dalam kuliyyah ilmu samada selepas Subuh atau Terawih. Walaupun ada info yang sudah diketahui tapi bagusnya ia sebagai peringatan agar amalkan ilmu yang ada. Sangat kagum dengan kesungguhan jemaah Surau al-Nur yang sentiasa penuh di dalam mencari ilmu yang diredai.

Bacalah Quran dengan faham maknanya. Usah tinggalkan juga bahan bacaan lain semata-mata kerana Quran. Tapi carilah bacaan yang menjadikan kita golongan Ulul Albab.

Berkat Derma

Sedang saya kelam kabut menuju ke Surau kerana terlambat sedikit, Imam sudah memulai solat Isyak dengan al-Fatihah. Terkejut pabila terlihat seorang pemohon derma yang masih asyik duduk di depan pintu surau dengan kotak dermanya. Ampunkan saya kerana tindakan itu mengundang sangkaan buruk yang bermain di minda. Alangkah indahnya jika dia juga turut menunaikan Isyak berjemaah, kerana Allah telah pun berfirman: "Pintalah pertolongan dengan Sabar dan Solat"

Iftar yang sederhana

Di awal Ramadan ini saya selesa Iftar di rumah bersama suami tercinta. Berazam untuk masak setiap hari, tapi adakalanya teringin juga ke bazar menjamu mata. Saya cuba juga masak kerana saya pasti itu yang terbaik untuk kesihatan kami berdua, walaupun saya masih belum bertaraf chef antarabangsa, masih merangkak-rangkak lagi. Tapi saya puas. Puas dengan bersederhana. Puas dan bahagia. Semoga ada ganjaran buat semua wanita yang menyediakan juadah berbuka yang terbaik untuk suami dan keluarga.

“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, 
maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut 
tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.”  
(Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)

Nikmat sakit

Sakit itu kaffarah. Sakit itu nikmat agar menghargai nikmat sihat. Saya mahu sihat supaya dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Sakit saya biasa-biasa. Pilunya, Emak diserang sakit luar biasa. Allahh.. Ketika saya tahu emak sakit, doa saya tidak putus agar Tuhan panjangkan umur Emak dan kurniakan kesihatan yang baik untuk Emak selama hayatnya. Sejak itu, saya membeli pelbagai Vitamin untuk kesihatan saya dan suami terutama di dalam bulan mulian ini. Bukankah mencegah itu lebih baik dari merawat?

Redoxon Vitamin C ketika sahur, Omega-3 Fish Oil selepas berbuka


Doa dan Doa

Sabda Rasulullah; “Sesungguhnya bagi orang berpuasa – ketika berbukanya – doanya tidak akan ditolak.” [Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As]

Saya percaya. Doa itu senjata. Saya juga percaya. Doa orang berpuasa pasti mustajab. Berdoalah..untuk diri sendiri, suami, kedua ibu bapa, adik beradik, sahabat handai, guru dan pensyarah, anak murid, dan seluruh muslimin dan muslimat, agar kita semua dijauhkan api neraka dan didekatkan dengan syurga dan ahlinya, agar amalan-amalan kita diterima dan diredainya, agar diberi peluang bertemu malam yang lebih baik dari seribu bulan, agar kita dikurnikan Maghfirah dan Rahmat Allah..

Ada satu doa yang saya baru belajar dan ingin dikongsikan di sini. Ayuh hafal bersama. Terima Kasih kepada Mufti Kedah yang menyampaikan tazkirah di surau kegemaran saya pada sabtu lepas. Doa ini adalah doa yang diajar oleh Nabi..


Semoga kita terus berusaha keras untuk fasa yang seterusnya..

Allahu A'lam

No comments:

Post a Comment