"Mak! telekung yang cantik tu mana?"
Aku sibuk menyelongkar telekung di dalam almari. Tak jumpa. Masa berbaki lima minit sebelum azan Isyak berkumandang. Emak masih di dalam bilik air, tidak mengendahkan aku yang mula menunjukkan muka kecewa.
Suis lampu bilik air ditutup. "Cari dengan mulut memang tak jumpa. Ambil dalam bilik Mak." Akhirnya emak memberi respon. Aku senyum tanda berterima kasih. Azan isyak surau depan rumah terus memecahkan kesunyian.
Sejak kecil, emak mengajar untuk guna dan lipat telekung dengan baik. Tapi aku malas. Pesanan kakak sebelum ke Bumi Anbiya' dulu pun dengan hanya mengingatkan, "Jangan lupa lipat telekung lepas sembahyang."
Kini, aku sudah dewasa panjang. Mampu untuk beli telekung dengan wang yang dicari sendiri. Tetapi emak tetap menghadiahkan telekung seperti dulu. Dan sejak dulu lagi, Ramadan adalah waktu terbaik untuk bergaya dengan telekung baru, wangi dan cantik.
Telekung zaman kini moden mengikut arus perubahan masa. Berwarna-warni dengan pelbagai rekaan terkini. Aku masih setia dengan telekung putih. Bercorak putih. Berbunga putih. Putih itu yang dipilih. Suci dan tidak menganggu konsentrasi jemaah yang solat bersama di masjid.
Ramadan dan telekung adalah kombinasi hebat seperti kurma dan susu sebagai makanan kegemaran Rasulullah ketika berbuka puasa. Kenangan manis menyambut Ramadan di Taman Ilmu dan Budi takkan pernah luput dari ingatan. Telekung akan dipakai dengan bebas di mana-mana antara Maghrib dan Isyak tanpa segan silu. Jika dipakai di antara Zuhur dan Asar, dan berjalan ke sana-sini pasti dikatakan pelik pula. Saat turun dan naik tangga Nusaybah dengan bertelekung menutupi aurat adalah nikmat buat kaum Hawa yang tidak mahu melepaskan peluang untuk solat berjemaah di Masjid.
Setelah menjalani kehidupan berumah-tangga, aku menikmati saat yang lebih bahagia. Dibonceng secara ikhlas (walaupun berat) menuju Surau al-Nur di atas bukit Seksyen Satu itu. Kami mahu mencari syurga bersama-sama. Syurga yang aku lalui bersama suami bernama Firdaus di dunia ini pasti akan lebih bahagia jika menikmatinya di Syurga Firdaus kelak, insyaAllah.
Telekung itu yang membuahkan ilham bahagia. Tidak perlu malu untuk mengejar sebuah pengampunan dan rahmat Tuhan. Sadisnya, masih ada yang malu menyarung telekung dan masih ada juga yang tidak malu membuka aurat setelah solatnya sempurna dilitupi telekung.
Nilai sepasang telekung itu tidak terletak pada corak dan warnanya, atau mahal harganya, atau nilai kualiti kainnya, TETAPI, nilai sepasang telekung itu terletak pada ikhlasnya beribadah kepada Tuhan seolah-olah kita melihat Yang Esa, jika tidak, sudah pasti Dia melihat kita.
Selamat beristiqamah dalam meraih cinta Tuhan!
**Hari ini genap dua bulan melayari bahtera Cinta Firdausi ^_^
Twit selepas terawih malam kelima

No comments:
Post a Comment