Wednesday, 14 November 2012

Selamat Tinggal JBL 2424

Bismillahirrahmanirrahim

Pagi tadi Ayah hubungi saya. Iklan di Mudah.com perlu dibuang segera. Kereta klasik milik Ayah sudah berjumpa tuan yang baru rupanya.

Saya telah diberi amanah oleh Ayah untuk mengiklankan JBL 2424 untuk dijual. Alhamdulillah iklan secara atas talian itu pun secara percuma dan ramai juga yang menghubungi Ayah untuk proses pembelian dan tawar-menawar.


JBL 2424 adalah sebaya umur dengan saya. Kereta ini dibeli oleh Ayah melalui kawannya dan sangat banyak jasanya dalam keluarga kami. Jika mengimbau kisah kereta ini, pastinya Ayah dan Emak sangat banyak melalui suka duka dan pahit manis bersama JBL. Termasuklah Kak Eni dan Kak Aida yang berpeluang memandu dan hidup lama bersama kereta ini, pastinya banyak memori yang tidak akan dilupakan mereka.


Seingat saya, JBL 2424 adalah pengangkutan utama saya ke sekolah rendah. Malah jika Ayah dan Emak menziarahi saya di Asrama, pastinya JBL akan turut menziarahi saya. Pada waktu itu, perjalanan kami sekeluarga samada jauh mahupun dekat adalah dengan menaiki proton berwarna hijau pisang ini. Penang, Melaka, Kuala Lumpur dan pelbagai tempat lagi sudah dijejaki JBL. Sungguh tidak terhitung jasanya!

Memang lumrah kehidupan bahawa yang lama itu akan berganti baru. JBL yang dahulunya "seorang diri" sudah mempunyai teman. Emak telah membeli Kancil (JDY 2424) yang kini sudah menjadi milik Abg Midon. Kemudian hadir pula yang baru iaitu Wira (JHC 2424), kemudiannya ditukar kepada Myvi lama (JJJ 4242) dan terkini ialah Myvi baru (JJJ 4242).


Kereta sangat penting dalam keluarga kami, terutama Ayah yang banyak bekerja di luar rumah. Walaupun kereta baru sering bersilih ganti, kasih sayang Ayah terhadap JBL tidak berbelah bagi. Setiap kerosakan akan dibaiki segera. Penjagaan Ayah yang teliti membolehkan kereta ini yang asalnya adalah manual telah ditukar kepada pemanduan secara automatik. Hebat bukan?

Ayah mempunyai tujuan tersendiri untuk menjual kereta ini setelah ia ditatang bagai minyak yang penuh selama kebih dua puluh lima tahun. Dan saya merasakan bahawa ia adalah tindakan terbaik agar kereta ini bertemu dengan pemilik yang baru.

Walau apapun, JBL 2424 akan sentiasa segar dalam kotak memori kami sekeluarga. Jasamu kami kenang selamanya.

Sayonara. 

No comments:

Post a Comment