Monday, 19 November 2012

Warkah Hijrah

Assalamualaikum

Warkah ini dititipkan khas buat semua sahabat yang telah berhijrah, sedang berhijrah, akan berhijrah dan tidak lupa juga buat mereka yang belum atau tiada hasrat untuk berhijrah.

Kata orang, hijrah itu pengorbanan. Ia membentuk persaudaraan. Ia melahirkan kasih sayang. Ia menjauhi persengketaan. Ia menghasilkan sebuah kenikmatan…

Sahabat-sahabat yang telah berhijrah,

Sekalung tahniah. Pastinya kalian telah memahami suka dan duka sebuah hijrah. Barangkali ada yang berhijrah dari sebuah tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang berhijrah daripada status bujang kepada alam perkahwinan. Ada juga yang berhijrah daripada dunia universiti ke dunia kerjaya. Ada juga yang berhijrah untuk melupakan semua kisah lalu dan membuka buku yang baru. Sesungguhnya kalian yang telah berhijrah ke arah yang lebih baik adalah lebih baik daripada tiada arah tujuan.

Semoga ganjaran yang telah dijanjikan Allah akan senantiasa mengiringi hidup kalian di dunia dan di Akhirat. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar” (Surah al-Taubah: 20-22)

Sahabat-sahabat yang sedang berhijrah, 
Teruskan berhijrah. Teruskan berubah. Kadangkala ujian akan datang dari pelbagai arah. Ini lumrah orang yang sedang berhijrah. Hasutan iblis adalah musuh durjana yang bisa memesongkan hala tuju sebuah penghijrahan. Sesungguhnya Allah akan sentiasa menunjukkan jalan jika apa yang kalian sedang hijrahkan kini adalah semata-mata kerana-Nya.

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadith: “Sesungguhnya semua amal itu haruslah dengan niat. Dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang ia niatkan. Maka siapa yang hijrahnya bertujuan kepentingan dunia yang akan ia dapatkan, atau wanita yang akan ia nikahi, maka Hijrahnya akan (menghasilkan) apa yang ia niatkan.” (Riwayat Imam Bukhari)

Sahabat-sahabat yang akan berhijrah,

Selamat menempuhi dunia serba baru. Usah mulakan hijrah jika hanya terpaksa atau sekadar ikut-ikutan sahaja. Jika sukar untuk berhijrah sikap, mulakan dahulu dengan berhijrah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Kerana tempat yang baru akan memudahkan hijrah yang lain. Bertemu rakan baru. Menghirup udara baru. Melakukan kebaikan yang baru. Dan melupakan kisah lalu.

Bukankah Hijrah dan Jihad adalah jalan terbaik meraih rezki dan syurga Allah, sebagaimana yang dijelaskan-Nya dalam surat Al-Hajj, ayat 58 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka di bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki.”

Sahabat-sahabat yang masih belum berhijrah, 
Hijrah itu tiada paksaan. Jika belum hari ini, pasti ada esok yang menanti. Hijrah itu urusan hati. Akal dan perasaan perlu dibawa sekali.

Jika belum hari ini, cukuplah membayangkan dahulu nikmat buat mereka yang sudah berhijrah. Allah berfirman menjelaskan jaminan-Nya: “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Nisa’: 100)

Sahabat-sahabat yang benar-benar tidak mahu berhijrah,

Tiada siapa yang mampu mengubah melainkan diri kalian sendiri. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Jangan disia-siakan peluang yang ada. Mati itu urusan Ilahi. Usah menutupi hati sendiri.

Berhijrahlah..
Ikuti Sunnah Nabi. Hidup pasti dirahmati…

Yang Ikhlas,

Saadah Khair

No comments:

Post a Comment