Saturday, 14 August 2010

Ragam Ramadan

Ragam Satu

"Puasa itu apa?" Soalan ini ditujukan oleh seorang wanita berusia 40 tahun ke atas kepada seorang anak kecil berusia 5 tahun. Anak kecil itu diam seribu bahasa. Koma. Perkataan puasa itu memang mudah disebut tapi bukan mudah untuk didefinisikan oleh anak kecil.

"Hasni puasa?"
"Puasa..."
"Hasni makan apa tadi?"
"Makan nasi lah..."
"Kalau Hasni makan, tandanya Hasni tak puasa.."
"oouh..."
"Puasa tu, tak boleh makan.. tak boleh minum.."
"Tak boleh makan? Tak boleh minum?"
"Iya, siapa yang makan dan minum, dia tak puasa namanya"
"oouh.. Puasa tu tak boleh makan.. Tak boleh minum"

Tiba-tiba ada suara sumbang di belakang, "Puasa boleh kentut tak..??" Pecah perut kami dibuatnya..

Ragam Dua

Di Pasar Kg Melayu, Johor Bahru.

Gadis: Bang, ada jual cekor?
Penjual: Ada, kat belakang Tongkat Ali.
Gadis: Hah? *sambil menggaru kepala*
Penjual itu masih sibuk menimbang sayur pelanggan yang lain.
Gadis: Maaf bang, saya tak kenal cekor.
Penjual: Cuba tengok dalam bakul belakang tu.
Gadis itu menuju ke arah yang ditunjukkan itu sambil mengenal pasti ada bakul halia dan kunyit, dan terlihat sesuatu yang kurang dikenal pasti. "Abang, ini ya..?"
Penjual: iya... *sambil tersenyum geli hati melihat gelagat gadis tersebut*
Harga juga diberi murah kerana kasihan melihat wajah pelanggan yang terpinga-pinga.

Ini lah bahana jika ke pasar setahun sekali...

Ragam Tiga

ABC di Kg Melayu memang tiada tandingannya. Air Batu Campur. Tapi ABC khas di bulan Ramadan hanya untuk kaum wanita dan mereka yang dikrukhsahkan keadaannya. ABC bukanlah abjad biasa, tapi mengandungi maksud luar biasa. "Allah Bagi Cuti". Bunyinya nampak mudah, tapi tak semudah yang disangkakan. Bunyinya nampak enak, tapi bukanlah untuk disengajakan tapi sudah ditetapkan.

Ramadan ini tiada istilah cuti. Jika cuti berpuasa, tidak semestinya boleh makan sesuka hati. Jika cuti solat, tidak bermaksud boleh meninggalkan ibadah yang lain. Belajar itu ibadah. Senyum itu Ibadah. Membaca itu Ibadah. Dan semua yang dilakukan kerana Allah itu adalah Ibadah. Mari berlumba-lumba beribadah di bulan Ramadan dan istiqamah di bulan yang berikutnya. InsyaAllah..

Ragam Empat

Pahala. Yuk kejar pahala. Tapi bukan bermakna boleh sesuka hati memilih pahala yang paling sesuai dalam mengerjakan Ibadah. Teraweh malam pertama Ramadan begini, dan malam kedua begitu pula. "Kalau begitu, saya mahu Teraweh pada malam sekian sahaja lah, kerana pahalanya begitu dan begitu."

Teraweh itu Ibadah Sunnah. Dua puluh atau lapan hanyalah pilihan, bukan kewajiban. Pahala bukan kita yang tentukan, tapi Allah berhak letak apa sahaja yang Dia rasakan sesuai. Besar kemungkinan juga tiada pahala langsung diberikan setelah berdiri lama, ruku' dan sujud, sambil membawa perut kekenyangan yang tiada tandingannya, tapi hanya keletihan semata-mata..

Yuk amalkan Ihsan dalam mengejar pahala. Beibadahlah seakan-akan kamu melihat DIA, jika kamu tidak melihat DIA, tapi pastilah bahawa DIA melihat kamu...

Ragam Lima

Al-Quran adalah bahan bacaan yang tidak pernah menjemukan. Alunan suara merdu Imam juga mencairkan hati makmum dan menenangkan hati insan bergelar Mukmin. Tapi usah terlalu fokus dengan lagu dan alunannya, isinya lebih penting. Tajwid bacaan juga perlu dititikberatkan.

"Saya mahu solat di Masjid itu, kerana Imamnya adalah si Polan.."
"Solat di Masjid di sana lebih baik, kerana Imamnya seorang Hafiz keluaran luar negara"

"Solat di Masjid di situ lah... kerana Imamnya baca pendek-pendek"

"Masjid di sana tu lebih bagus, kerana suara Imamnya merduuuuu sangat.."


Usahlah solat kerana Imam atau Masjid, tapi solatlah kerana itu adalah medium untuk bertemu Tuhan!

**Ramadan untukku akan benar-benar bermula sebentar saja lagi.. :)

No comments:

Post a Comment