Tuesday 9 November 2010

Cinta di dalam Gelas

Sinopsis Andrea Hirata di SINI.

Tatkala tajuk buku ini menjamah mata, pelbagai soalan berlegar di minda. Kenapa cinta itu harus di dalam gelas, bukan di rumah, bilik, buku atau sebagainya. Akhirnya segala persoalan terjawab sudah setelah buku ini tamat dibaca dalam masa seminggu.

Ya, cinta itu ada di mana-mana. Bukan sahaja gelas, bahkan di tempat atau barang yang kecil sekalipun. Cinta itu terlalu subjektif dan setiap orang ada definisi tersendiri tentang cinta. Kali ini, Andrea Hirata mengenengahkan cinta dengan begitu kreatif sekali. Sambungan kepada novel sebelum ini; Padang Bulan [Review di SINI], Enong itu adalah Maryamah, dan Maryamah itu adalah Maryamah Karpov yang pernah menjadi tajuk novel ke empat tetralogi Laskar Pelangi. Cadangan ku agar perlu ada tambahan informasi di novel MK untuk membaca CDG demi memahami erti sebenar nama tersebut.

KOPI. Kenapa air hitam itu yang menjadi pilihan? Sememangnya tatkala mebaca buku ini, kopi adalah teman terbaik, malah cintaku terhadap kopi semakin mekar..hehe.. Saya tertarik dengan cara penulis memberi gambaran sifat-sifat peminum kopi mengikut selera dan cara mereka memegang gelas. Lucu dan indah. Mungkin ada juga benarnya segala pemerhatian penulis, sehingga dibukukan di dalam "Buku Besar Peminum Kopi". Andai buku itu benar-benar wujud, izinkan saya membacanya dan mengetahui jenis apakah saya ini sebagai peminum kopi..

Secara halusnya, ia bukan sekadar air gula berwarna hitam, tapi mengandungi pelarian dan kegembiraan. Segelas kopi adalah ibarat dua belas teguk kisah kehidupan dan ensiklopedia yang tebal tentang watak seseorang. Manakala warung kopi berperanan sebagai laboratorium perilaku seseorang..

YAMUNA. Ia adalah nama sebuah sungai yang mengalir di antara Taj Mahal dan Benteng Merah, dan nama ini juga diberikan kepada sebuah mesin elektronik pengisar kopi. Entah mengapa saya terpesona dengan olahan penulis dalam mengaitkan mesin blender kopi dengan A Ling, cinta pertama Ikal. Mungkin ada persamaan antara mereka berdua di mana wujudnya the moment of silence. Ia mungkin hanya difahami oleh mereka yang setia pada cinta pertama.

CATUR. Menurutku, hanya orang yang benar-benar kreatif dan kritis sahaja yang bisa menang dalam permainan ini. Saya tahu cara bermain, tapi saya tak pernah menang walaupun bertanding dengan adik sendiri. Penulis menjelaskan secara terperinci peranan setiap butir catur dan cara bermainnya. Maryamah yang tidak pernah menyentuh papan catur itu mempunyai keupayaan luar biasa apabila niatnya belajar main catur berjaya sehinggalah menjadi juara catur berturut-turut. Ini semua adalah kerana kemahuan dan usaha Maryamah untuk membuktikan bahawa dia bukanlah selemah yang disangka walau dugaan sering menimpanya, dan tujuan mengalahkan bekas suaminya dalam pertandingan catur itu berjaya!

KARPOV. Nama ini diambil dari seorang pencatur terhebat peringkat dunia, Anatoly Karpov. Sejak Maryamah berjaya mempelajari teknik pencatur dunia tersebut dan bergelar juara berkali-kali, panggilan itu melekat padanya; Maryamah Karpov.

Ternyata, saya masih mengharapkan ada sambungan lagi selepas ini...

Pengajaran terbaik CDG ini adalah; Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada harapan, di situ terletaknya sebuah perjuangan. Di mana ada cinta, pastinya ada kenangan..

Selamat meneruskan perjuangan~!

**Kurangkan kopi dan manisan, tambahkan cinta dan senyuman.. ^_^

1 comment:

  1. Tahniah! Rasanya bukan mudah untuk Epah menikmati diam dalam bacaan.. :)

    ReplyDelete