Sunday, 24 October 2010

Cinta Padang Bulan


Karya Andrea Hirata seperti biasa tak pernah menghampakan saya. Ini adalah novel berikut selepas karya Tetralogi Laskar Pelangi mengaburkan mata pembaca dengan khayalan, mimpi dan imaginasi. Terima kasih buat penulis kerana menghasilkan tulisan yang indah dengan cerita-cerita inspirasi, tak lupa juga buat terima kasih seorang kawan yang telah membelikan buku ini jauh dari tanah seberang..

Kisah kali ini ceria dengan watak utama Ikal, Enong dan Detektif M. Nur. Ikal dan Enong itu meskipun berbeza, tapi semangat mereka yang kuat bisa menjadikan mereka teman baik secara tidak sengaja. Tuan Detektif yang pelik itu juga tidak kalah dengan semangat luar biasa sebagai seorang teman. Tapi ada satu semangat yang sangat luar biasa dari Ikal, iaitu semangat setia kepada cinta pertamanya.

Sejak ayahnya menolak satu-satunya hasrat Ikal untuk memperisterikan A Ling di dalam novel Maryamah Karpov, Ikal pergi jauh membawa diri. Cintanya pada A Ling melebihi segalanya. Akan tetapi, datang satu khabar mengatakan ayahnya sakit, dia harus pulang juga menziarahi satu-satunya ayah kesayangannya itu. Di perkampungannya, banyak kejadian telah terjadi, termasuklah kisah Enong yang diuji pelbagai ujian. Malah, berita yang benar-benar mencucuk hatinya ialah ketika mendapat tahu ada seorang lelaki sempurna telah melamar A Ling, cinta pertama pujaan hati Ikal.

Pelbagai rencana telah dirancang untuk menumpaskan musuh cintanya itu termasuklah berlawan papan catur dan pinpong, dan usaha gilanya untuk menambah ketinggian badan. Sayangnya tidak berhasil. Tapi ada satu penghasilan berjaya apabila persahabatan Ikal dan Enong semakin akrab gara-gara pembelajaran Bahasa Inggeris. Saya paling suka saat Ikal dengan mudah melontarkan kata-kata untuk sebuah puisi, dan satu baris puisi dari Bu Indra buat Ikal adalah sangat indah untuk difahami tentang bahayanya sakit cinta:

"Love walks on two feet just like a human being,
It stands up on tiptoes of insanity and misery.."

Ya, cinta itu lah penyakit dan penawar. Cinta itu lah kesengsaraan dan kebahagiaan. Cinta lah sebab utama Ikal menjadi sedemikian, malah tetap akan setia kepada A Ling yang sentiasa menginspirasinya di dalam senyap. Kisah cinta ini yang buat saya kagum, malah turut membuat saya jatuh cinta!

Pertemuan terakhir Ikal dan A Ling menjawab segala salah faham yang berlaku selama ini. A Ling dan Zinar dijodohkan, bukan bertemu secara sukarela. Ikal lega. Kehadiran Ikal ke majlis perkahwinan A Ling ibarat pertemuan pertama Ikal dengan A Ling sewaktu Sekolah Dasar. Penuh kemanisan dan kenangan.

Satu kesimpulan yang berani saya simpulkan ialah: Kerelaan agar orang lain lebih bahagia adalah kebahagiaan yang sangat bererti. Semoga A Ling bahagia dengan lelaki sempurna itu. Semoga Ikal juga bahagia dengan mimpi-mimpi yang dia bina selama ini. Tiada yang mustahil..

Kebahagiaan Sang Pemimpi yang membahagiakan orang lain.. Kisah Ikal bersambung lagi di buku yang seterusnya, "Cinta di dalam Gelas".

Selamat Membaca..
Selamat Membina Mimpi..


*Lelaki yang bisa buatku jatuh cinta ialah si dia yang bisa melontarkan kata-kata indah di dalam tulisan puisinya..

1 comment:

  1. Assalamualaikum kak.

    Emm, Zinar bukan kawen dengan A Ling la kak.
    Ke saya salah baca entry kak ni? ;p

    Haa.. Kantoi~ Dah habis baca belum Padang Bulan ni? :)

    P/s: Terbuka blog ni n this is my 1st time here. :)

    ReplyDelete