Monday, 6 June 2011

Buku: Ranah 3 Warna


Tulisan Ahmad Fuadi dalam novel keduanya ini ternyata tidak menghampakan pembaca. Penuh semangat dan tidak pernah kenal erti putus asa. Terkesan dengan Negeri 5 Menara, tentunya saya ingin mengetahui kisah kehidupan Alif Fikri yang dicorak pelbagai warna di dalam sambungan trilogi ini..

Mantera Kehidupan

Pendidikan awal di sekolah Alif sangat memberi kesan yang mendalam ke dalam dirinya. Kata-kata semangat yang diajar guru Pondok Madani bukan hanya untuk setahun dua tapi memberi kesan bertahun-tahun lamanya. Mengambil mantera 'man jadda wajada' yang bermaksud 'siapa yang bersungguh-sungguh, pasti akan berjaya' sebagai mantera kejayaan untuk mencapai segala impian, tapi ia tidak cukup dengan itu sahaja kerana kejayaan itu takkan bermakna tanpa ujian yang menimpa. Oleh itu ia harus disertai dengan 'man sobara zofira' di mana keuntungan itu adalah milik mereka yang bersabar...

Selain itu, masih ada mantera lain iaitu 'man yazra' yahsud' yang menunjukkan bahawa siapa yang menanan pasti akan mendapat hasilnya, ditambah juga dengan 'man sara 'la darbi wasala' yang bermaksud sesiapa yang berjalan di atas jalannya pasti akan sampai ke tempat yang dituju...

Impian

Jikalau Ikal yang dicipta Andrea Hirata berani untuk bermimpi, Alif ciptaan Ahmad Fuadi juga tidak kalah untuk terus bermimpi dan menggapai impiannya itu. Kematian ayahnya bukan penghalang untuk dia mencapai impiannya, Randai juga bukan penghalang tapi saingan sihat, dan si Hitam setia menemani untuk mengejar mimpi. Impian untuk lulus ujian, masuk universiti, menulis di media nasional, menjejaki Jordan dan Kanda, semuanya tercapai.. Tapi hanya satu yang bukan rezekinya si Alif, iaitu gadis manis Raisa. Bukankah Jodoh itu memang ketentuan Tuhan!

Perantauan

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampong,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

 -Imam Syafi'e-

Syair Imam Syafi'e inilah yang membakar untuk pergi jauh ke benua yang berbeza. Keberaniannya bermimpi dan mantera yang dipegang cukup menjadi rempah untuk dia hidup bertahun-tahun di negara orang. Walau hujan batu di negeri sendiri lebih baik, tapi Alif menggunakan setiap peluang yang ada untuk belajar dan mencapai perubahan baru di dalam hidupnya. Persahabatan dengan warga Quebec ternyata adalah peluang keemasan yang mengubah kehidupannya tapi tidak akan mengubah semangat cintakan negara dan keluarga tercinta.

Kehidupan

Ia akan kosong jika dicorak satu warna. Ia akan berseri jika pelbagai warna berani mendekati. Ia akan mencabar jika ada duri yang menyakiti. Ia akan dinikmati jika bersyukur dengan segala ujian dan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment