Ini kisah tentang Melayu. Kebanggaan Melayu itu adalah pabila dia bergelar Muslim juga Mukmin. Kedudukan Islam di sisi Tuhan tidak perlu dipersoalkan lagi, tapi pelbagai soalan timbul apabila menghurai asal-usul dan waktu kedatangan agama suci itu ke Tanah Melayu.
Seperti biasa, karya FT memang menjadi pilihan, walau dia banyak menimbulkan kontroversi besar dan kecil sehingga laman sesawangnya telah diambil tindakan tegas secara serta-merta. Dan buku ini adalah karya beliau pertama bersama PTS, sebagai penerbit karya Melayu tersohor.
Batu. Ya, batu itu lah yang menjadi bukti dan saksi. Kajian demi kajian yang dilakukan pada batu istimewa itu menimbulkan banyak persepsi yang berbeza. Satu pujian yang harus diberikan kepada FT apabila beliau menggunakan lebih daripada 20 buah buku sebagai rujukan ilmiyyah di dalam penulisan buku ini. Saya kagum dengan olahan fakta-fakta sejarah.
Akademi Seni Islam. Idea ini adalah sangat sihat! Di mana pelakon itu dididik dengan baik sepanjang latihan doku-drama. FT juga tidak lari daripada mengambil beberapa imej realiti yang nyata dalam dunia hiburan tanah air untuk menghidupkan seseorang karakter di dalam karyanya.
Kontroversi lagi. Ini bagaikan tidak asing lagi buat FT. Karya beliau tidak lari daripada mengkaitkan dengan nama Saidina Ali R.A secara langsung ataupun tidak. Sila baca dengan teliti dan berhati-hati..
Islam. Inilah yang harus menjadi kebanggaan walau di mana kita berada. Usahlah berdebat untuk menegakkan fakta bahawa ia datang dari sini atau sana, pada waktu ini atau itu. Setinggi-tinggi pujian buat DIA kerana mendatangkan nikmat Islam, Iman dan Ihsan di Tanah Melayu ini...
No comments:
Post a Comment