Genap Dua Puluh Hari
Fasa Pertama Ramadan sudah berlalu. Fasa kedua berada di penghujungnya. Fasa ketiga bakal bermula. Malam ini malam pertama mengimarahkan malam ganjil 10 Ramadan terakhir. Bagaimana ya amalan saya dan amalan kita semua? Adakah Tuhan hanya menghitung lapar dan dahaga kita atau dikira juga solat dan siyam kita? Saya benar-benar takut sekiranya amalan saya selama dua puluh hari ini hanyalah sia-sia dan risau sekiranya saya masih berteleku di takuk yang lama...........
Ayuh! Jangan putus asa. Rahmat Tuhan itu luas hendaknya. Maish ada lagi ruang dan peluang mencari redha-Nya. Sila baca "Menjangkau Pasca Ramadan" tulisan ustaz Pahrol sebagai muhasabah kita semua.
Pembedahan Emak
17 Ramadan 1433H, 6 Ogos 2012 - Alhamdulillah, mak telah selamat menjalani pembedahan slip disc yang ditanggung sakit selama ini. Pada hari sambutan Nuzul al-Quran ini, saya berduka cita kerana tiada di sisi Emak, tapi beliau tetap di hati saya kerana saya tidak pernah berhenti berdoa agar Allah memudahkan pembedahan itu nanti. Enam jam Emak di bilik pembedahan buat saya tertanya-tanya, tapi terjawab sudah apabila menerima pesanan ringkas kak aida yang mengatakan pembedahan sudah selesai dan Emak mengalami pendarahan yang banyak. Abang pula mengirim berita bahawa Emak sesekali mengadu sakit apabila tersedar. Ya Allah, kurangkan kesakitan itu dan kurniakanlah kesabaran buat Emak..
Blog ini banyak jasanya kerana sering mencatat sepanjang perjalanan ujian yang Allah berikan kepada Emak. Boleh lawati http://ummfarhah.blogspot.com/. Terima kasih Kak Eni!
Berita terkini, Emak sudah dipindahkan ke bilik baru dan doktor akan cuba berdirikan Emak supaya otot-ototnya kembali bekerja semula. Semoga Emak diberli peluang beribadah seperti biasa...
Pocket Rocket Man
Entah kenapa terdorong untuk melihat salah satu sukan yang dipertandingkan di Olimpik London 2012. Terpengaruh dengan kata-kata positif Ustaz Hasrizal di laman sesawang dan twitter beliau, saya tertanya-tanya siapakah wira bernama Azizul Hasni Awang ini. Dalam berbanyak-banyak doa yang dikicaukan di laman twitter beliau yang menarik minat saya ialah:
Dan apabila tidak memenangi emas, perak mahupun gangsa, ada hikmah di sebalik semua ini;
Semoga kita juga mengayuh laju mengejar LaylatulQadar, malam yang lebih baik daripada seribu malam.
Perhati & Pilih
Semalam saya terdengar satu iklan di IKIM. Seorang ibu menasihati anaknya yang ingin membeli juadah berbuka puasa dengan satu ayat mudah; "Perhati dan pilih". Ya, ini yang perlu dipraktikkan oleh setiap pelanggan yang berhasrat mengambil makanan di bazar sebagai juadah berbuka puasa. Perhati dan lihat dulu bentuk dan struktur makanan (sebab rasa boleh boleh membatalkan puasa) sebelum membeli, barangkali ada najis binatang yang suka menghinggap pada makanan. Pilih makanan yang sihat sahaja dan elakkan makanan yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan.
Adalah dukacitanya menyatakan bahawa kami suami isteri diserang penyakit CB (cirit-birit) semalam dek makanan yang dibeli di bazar. Sepuluh terakhir ini, mahu kurangkan makan nasi dan tentunya saya akan masak sendiri.
Tangan Pemberi
Bonus telah masuk. Alhamdulillah. Ada rezeki buat emak, ayah dan anak-anak buah. Ada bahagian juga untuk diinfaqkan fi sabilillah insyaAllah. Ada bahagian juga untuk keperluan kami yang menyambut lebaran di selatan dan utara, juga bayaran lain-lain yang telah ditetapkan pada setiap bulan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tangan di atas lebih baik
daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi
tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan
mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak
meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon
dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan
kehidupannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dan hadith ini adalah asas kepada kami adik beradik untuk menyumbang kepada kos pembedahan Emak yang mencecah belasan ribu Ringgit Malaysia: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah.
Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala
sedekah dan pahala menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Ahmad)
Allah lebih tahu apa yang kita tidak tahu.
**Ya Allah, berilah kesempatan kepadaku bertemu Malam Mu itu..
No comments:
Post a Comment