Dengan nama Allah pencipta sekalian alam, pemilik seluruh kejadian
Ramadan ke-24 ini memberi kehangatan yang berbeza kepada dua golongan yang berbeza. Golongan pertama ialah mereka yang aktif di malam hari, mencari malam teristimewa yang pastinya lebih baik daripada biasa, serta memohon agar dibebaskan api neraka dan dilimpahkan rahmatNya. Golongan kedua pula ialah mereka yang aktif di siang hari, menyiapkan diri dengan kedatangan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi, dan asyik dengan keduniaan tanpa berduka dengan Ramadan yang bakal meninggalkan kita.
Entri ini khas ditulis untuk memberi jawapan kepada soalan yang diaju rakan taulan juga saudara mara; "Kenapa dah tiada dalam facebook", "Deactivate facebook ke?", "Kenapa deactivate?" atau "Patutlah cari dalam facebook tapi tak jumpa.."
Saya sengaja menyah-aktifkan laman sosial muka buku itu sehari sebelum Ramadan tahun ini bermula. Sudah lama menyimpan hasrat dan saya tetap dengan pendirian yang agak goyah pada awalnya. Terbaca pandangan Hilal Asyraf dalam laman web beliau, katanya:
Jangan tutup blog anda dan jangan tak tulis post,
jangan deactivate Facebook anda dan berhenti menaip status.
Jangan dan jangan.
Tetapi aktifkan kedua-duanya di dalam Ramadhan ini,
kerana ianya bermakna untuk anda dan akhirat anda.
Boleh terus baca di SINI
Tercabar juga. Tapi saya ada pandangan peribadi tersendiri. Bagi saya, facebook bukanlah satu-satunya medium menyampaikan dakwah, walaupun pengaruh facebook sangat besar terutama di kalangan belia dan remaja. Malah jika dilihat kepada kesan penggunaannya yang berlebihan, ia lebih banyak memberi kesan negatif berbanding positif. Kadang-kala, saya lebih mengenali diri saya berbanding orang lain. Jadi, langkah menyah-aktif mukabuku adalah langkah kanan membuat kebaikan dan menjauhi keburukan, terutama di dalam bulan Ramadan.
Oleh yang demikian, saya aktif menulis blog ini dan juga mula aktif berkicau di laman Twitter. Kedua-dua laman sosial ini ada juga memberi kesan negatif, tapi sekurang-kurangnya saya ada medium untuk terus berinteraksi di alam maya. Saya juga merasakan blog dan twitter dapat menjauhkan saya daripada tenggelam dengan mengharapkan pandangan makhluq dan cuba mendekatkan diri dengan pandangan Khaliq. Doa saya; Ya Allah, pandanglah aku...
Secara jujurnya, ada keinginan yang membuak-buak untuk mengaktifkan semula laman mukabuku ketika pertengahan Ramadan. Kadangkala mengintai mukabuku suami untuk melihat perkembangan terbaru, takut-takut saya ketinggalan zaman. Saya akui bahawa facebook mempunyai kuasa luar biasa yang boleh mengakibatkan ketagihan, malah banyak kesan buruk lain yang terbit daripada penggunaannya. Tapi saya akui juga kehebatan facebook dalam menyampaikan maklumat. Rata-rata syarikat atau organisasai menggunakan facebook sabagai medium utama untuk membuat promosi dan pengiklanan atau memaklumkan berita terkini dan event penting kepada orang ramai.
Hampir sebulan ini, saya banyak ketinggalan tentang berita kawan-kawan yang bakal mendiriikan masjid ketika lebaran. Tiada juga peringatan tentang tarikh hari kelahiran. Tiada makluman tentang aktiviti terbaru NGO yang saya sertai. Tiada berita tentang kelahiran anak baru teman-teman atau berita gembira dinaikkan pangkat. Ini menunjukkan bahawa kebergantungan kita semua terhadap laman facebook adalah tinggi.
Bila saya akan aktif semula?
Insyaallah malam 1 Syawal nanti, facebook saya akan diaktifkan semula seperti biasa. Tapi kadar penggunaan saya akan dihadkan untuk perkara penting sahaja. Dan saya tidak mahu menghabiskan masa yang sangat berharga di hadapan pc berjam-jam lamanya hanya kerana sebuah laman sosial bernama Facebook.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment