Satu Hari
Tirai Ramadan bakal berlabuh. Bahang Syawal semakin terasa. Kata orang, Ramadan bulan perjuangan, Syawal pula bulan meraikan kemenangan. Tetapi, adakah kita benar-benar berjuang dan bermujahadah? Layakkah kita bergelar pemenang? sedangkan belum pasti Tuhan menerima segala amalan kita semua. Masih berbaki satu hari lagi untuk tidak berputus asa memohon keampunan, keredhaan dan Rahmat dari Yang Esa.
Satu Saat
Drama 7 Ramadan di TV3 yang berakhir Khamis lepas sangat memberi kesan. Saya tidak mengikuti dari awal, malah bukan menonton semua episod tapi dapat memahami jalan cerita yang kreatif kerana kesudahan cerita memberi pengajaran yang baik buat anak-anak untuk menghargai ibu mereka.
Ya Allah, jauhkan aku daripada menjadi anak derhaka. RedhaMu terletak pada redha ibuku. Semoga ada peluang berbakti dan membalas jasa mereka yang sememangnya tidak mampu terbalas.
Satu Ucapan
Lagu raya sudah berkumandang sejak awal Ramadan lagi. Ucapan raya sudah pun disebarkan sana-sini. Tapi usah lupa dengan memasukkan doa ini di dalam ucapan Aidilfitri anda. Tahun ini kita berubah. Satu perubahan awal memberi kesan positif di penghujungnya insyaAllah..
Sunat mengucapkan tahniah sempena Hari Raya seumpama ucapan
تقبل الله منا ومنك "Taqabbalallahu minna wa minka" yg bermaksud, "Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu."
Satu Harapan
Semoga ada peluang untuk kita bertemu Ramadan akan datang. Hadirnya setahun sekali, pemergiannya ditangisi, hanya mengharapkan Rahmat Ilahi. Usahlah berlebihan pada Syawal yang bakal tiba, kerana tidak mustahil dosa sehari pada Syawal boleh menghapuskan pahala yang dikumpul tiga puluh hari Ramadan.
Baca SINI untuk mendapatkan Eid yang produktif.
Akhir kalam, Eid Mubarak.
Kullu 'am wa antum bikhayr.
Taqabbalallahu minna wa minkum min al-'aidin wa al-faizin.
Ikhlas dari kami berdua;
Saadah & Firdaus
No comments:
Post a Comment