Tuesday, 13 December 2016

Pengalaman Hamil di Negara Orang (III)

Sambungan daripada entri lalu....

Masa berlalu dengan sangat pantas. Perut saya semakin membesar. Doa saya setiap hari agar saya dan bayi sihat sehinggalah saat kelahiran dan selepas melahirkan. Ada beberapa kali appointment di hospital untuk pemeriksaan glucose dan sebagainya. Saya ikutkan sahaja kerana ia penting untuk melihat tumbesaran dan kesihatan saya juga bayi.

Tetapi ada satu lagi pengalaman yang perlu saya kongsikan di sini, iaitu parenting class for the first parent. Kelas ini adalah kelas percuma yang dianjurkan hospital bagi usia kandungan yang sudah berusia 30 minggu ke atas, bagi persediaan untuk menyambut kehadiran ahli keluarga yang baru. Kami berdua sangat teruja. Biarpun tidak mengenali sesiapa, tetapi ia adalah peluang keemasan untuk menuntut ilmu baru sebagai bakal ayah dan ibu. Buku dan info di internet adalah membantu, tetapi saya rasa ia sangat penting untuk mengambil peluang ini untuk pergi sendiri ke kelas-kelas sebegini. Pengalaman menghadiri kelas tersebut telah saya kongsikan di SINI.

Sebenarnya ada lagi satu kerisauan yang kami rasai saat menunggu waktu kelahiran. Carta tumbesaran (growth chart) bayi sebenarnya melebihi paras normal, dan kerana itu saya perlu membuat pemeriksaan lanjut di hospital. Seingat saya, ada dua lagi scan yang perlu saya hadirkan diri di hospital. Takut juga tetapi ramai midwife yang menenangkan agar tidak terlalu risau kerana saya tidak mempunyai diabetes atau penyakit luar biasa. Yang luar biasanya ialah bagaimana Afeef boleh menjadi terlalu besar daripada biasa.

Afeef 38 minggu
Masuk ke minggu yang ke-35, persediaan sudah kami siapkan. Baju bayi dan kelengkapan sudah dibeli sedikit-sedikit dan sudah dibasuh. Bag untuk ke hospital juga saya dah siapkan. Malah, susun atur bilik juga sudah kami rancangkan dengan rapi.

Pada minggu yang ke-40, saya ditahan wad kerana merasakan contraction awal. Padahal rupan-rupanya ia adalah false alarm sahaja. Midwife menjaga saya dengan baik. Saya diajar untuk berendam di dalam bath tub untuk mengurangkan kesakitan dan mengawal emosi agar tenang. Rancangan untuk melahirkan juga sudah saya buat keputusan, hanya menunggu waktunya sahaja. saya juga diarahkan pulang ke rumah atas nasihat bayi masih belum bersedia dan saya akur sahaja.

Tarikh 23 Mei 2015 sudah pun berlalu. Tetapi bayi masih belum mahu keluar. Sejujurnya saya sudah tidak sabar kerana kandungan semakin berat dan saya sudah tidak kuat. Amalan yang sepatutnya saya buat untuk bayi lahir dengan segera juga sudah saya cuba, tetapi masih belum berhasil. Kemudian, kami berjumpa doktor untuk minta nasihat dan solusi. Dia mencadangkan agar induction boleh dilakukan sekiranya bayi masih belum lahir dalam tempoh yang seminggu.

Jumaat malam sabtu, saat kami sekeluarga solat maghrib berjemaah, air ketuban pecah. Begitu rupanya rasa air ketuban apabila pecah, iaitu air keluar tanpa berhenti, tanpa boleh dikawal sepertimana kita boleh mengawal air kencing. Saya panik. Nasib baik semuanya sudah disiapkan dan kami bergegas ke hospital. Antara syarat sebelum ke hospital ialah perlu hubungi nombor yang ada di buku hijau untuk memaklumkan kepada hospital. Operator yang menjawab akan minta kita bertenang dan bertanya apa yang telah berlaku. Saya masih boleh berjalan dengan baik, cuma air yang keluar juga semakin banyak.

Alhamdulillah juga jarak rumah dan hospital tersangat lah dekat, dan saya masih boleh berjalan seperti biasa, cuma ada rasa yang tidak selesa. Hampir sepuluh jam juga bergelut dan berusaha untuk melahirkan Afeef tetapi bukaan tetap kecil, dan akhirnya keputusan telah dibuat untuk melahirkan Afeef secara caesarean. genap seminggu lewat daripada tarikh asal, Alhamdulillah Afeef selamat dilahirkan pada 30 Mei 2015. Saya pernah berkongsi sedikit sebelum ini di SINI.


Kesimpulan yang boleh saya buat ialah pengalaman mengandungkan dan melahirkan Afeef biarpun di negara orang lain adalah terlalu manis biarpun ada juga sedikit pahit yang tempias. Saya tidak dikenakan sebarang bayaran. Ubat-ubatan juga adalah semuanya percuma. Urusan dengan pihak hospital, klinik, doktor, midwife, jururawat adalah sangat mudah. Saya tidak pernah mengeluh kerana semua urusan boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu menghabiskan masa, tenaga dan wang.

Pengalaman ini mungkin sukar untuk diulangi kembali. Kemungkinan besar ia akan menjadi antara faktor penting untuk membandingkan servis dan perkhidmatan apabila hamil pula di negara sendiri.

Semoga Allah permudahkan urusan adik Afeef pula. Amin..

Pengalama Hamil di Negara Orang (II)

Sambungan daripada entri lalu...

Hati siapa yang tidak berbunga-bunga apabila melihat bayi di dalam kandungan biarpun ia hanyalah gambar hitam putih sahaja. Saya menangis syukur kerana ia adalah satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan. Menurut doktor, bayi sudah berumur 13 minggu tetapi jantinanya masih belum diketahui kerana masih kecil. Kami terus jatuh cinta pada pandangan pertama dan berdoa agar bayi sihat dan berkembang dengan baik. Benarlah kata orang, cinta seorang ibu itu..

Before you were conceived, I wanted you
before your were born, I loved you
before you were an hour, I would die for you
This is the miracle of mother's love

Kali ini, saya rasa perlu memaklumkan berita gembira kepada ahli keluarga yang terdekat. Bayi juga sudah masuk tiga bulan dan ia adalah tempoh yang sudah stabil di awal kehamilan. Emak saya menangis gembira, sambil menceritakan mimpi beliau tentang saya. Saya mengharapkan doa emak dan ayah yang jauh agar semuanya berjalan lancar sepanjang kehamilan ini. 

Alhamdulillah saya tiada alahan yang teruk. Deria bau saya semakin sensitif. Nafsu makan juga agak kuat. Malah saya loya-loya hanya pada waktu malam terutama ketika atau selepas gosok gigi. Ada juga beberapa kali muntah tetapi bukan pada waktu pagi seperti kebanyakan ibu hamil yang mengalami morning sickness. Perasaan teringin kepada makanan Malaysia agak dahsyat dan saya sanggup untuk cuba memasaknya sendiri demi memenuhi keinginanan sendiri. Begitulah gaya ibu melayu di tanah inggeris...

Saya juga meminta nasihat midwife kerana mahu travel ke Turki pada akhir tahun 2014. Antara nasihat yang diberikan ialah minum banyak air putih sebelum kapal terbang berlepas dan mendarat, kerana ditakuti bayi terkejut dengan tekanan. Alhamdulillah tiada masalah berlaku di Turki, cuma makanan Turki banyak mematahkan selera saya. Tetapi pengalaman salji tebal di Uludag, Bursa adalah kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

Kemudian untuk scan kali kedua, jantina sudah boleh dikenal pasti. Kami berdua tidak kisah dan redha apa sahaja bayi di dalam kandungan tetapi sudah mula memikirkan nama untuk anak perempuan dan lelaki. Jururawat yang memeriksa saya pada hari tersebut hanya mengucapkan "Congratulation, it's a BOY!". Saya tidak bertanya, malah terpinga-pinga. Betul ke? Kenapa tidak ditunjukkan tanda lelaki itu. Tetapi suami saya maklumkan dia nampak 'bird' bayi dan yakin bahawa anak pertama kami ialah lelaki.

Dari situlah kami sudah memanggilnya.... AFEEF :)

13 minggu dua hari
21 minggu

Menurut doktor, tarikh jangkaan bersalin (EDD) ialah pada 23 Mei 2015, sangat hampir dengan ulangtahun perkahwinan kami berdua. Tidak sabar rasanya menanti tarikh bahagia itu..

Bersambung...


Pengalaman Hamil di Negara Orang (I)

Bismillahirrahmanirrahim

Pengalaman hamil untuk kali pertama adalah kenangan manis bagi setiap pasangan kerana itu adalah perubahan fasa yang sangat penting untuk memegang tanggungjawab yang baru. Alhamdulillah saya dapat merasa pengalaman ini di negara orang, setelah usia perkahwinan kami masuk ke tahun yang kedua. Lambat atau cepat untuk mendapat zuriat adalah perancangan terbaik Tuhan, dan hanya Dia yang tahu bila masa yang terbaik untuk setiap pasangan.

Rasa tidak percaya apabila saya melihat dua garis merah pada pregnancy test tersebut. Seingat saya, berpuluh juga pernah saya cuba sebelum ini tetapi hanya satu garis sahaja yang kelihatan. Gembira, syukur dan ada juga perasaan takut kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana ianya adalah pengalaman pertama. Mengikut nasihat suami, kami rahsiakan dulu daripada keluarga kerana mahu pengesahan yang sah daripada pakar. Ada hasrat untuk bertanya kawan, tetapi malu dan masih ragu-ragu. Oleh itu, saya beranikan diri untuk pergi ke GP bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

GP ialah klinik terdekat yang berhampiran dengan rumah dan nama ahli keluarga didaftarkan di situ bagi mendapat rawatan kesihatan secara percuma. Perjanjian untuk bertemu doktor mesti dibuat awal sebelum hadir ke GP. Ubat (prescription) adalah berbayar bagi pesakit dewasa, dan percuma bagi mereka yang hamil, warga tua dan tidak berkemampuan. Semua ubat hanya boleh didapati di farmasi NHS sahaja dengan menunjukkan kertas hijau yang sah daripada doktor.

Pertemuan yang pertama dengan doktor mengesahkan bahawa kandungan saya sudah masuk tujuh minggu, berdasarkan tarikh haid yang lepas. Doktor memberikan buku percuma, info penting dan juga vitamin yang perlu diambil di awal kehamilan. Dia menjelaskan bahawa rawatan dan ubat-ubatan untuk ibu hamil adalah percuma selama dua tahun, dan saya diberi borang untuk memohon maternity card yang berfungsi sebagai bukti untuk mendapatkan rawatan dan ubat secara percuma. Kad tersebut kemudiannya akan dipos ke rumah. Dia juga membuat temu-janji berikutnya dengan midwife (nurse) untuk mereka datang ke rumah pada hari yang telah dipersetujui. Jururawat yang bertanggungjawab menguruskan wanita hamil digelar midwife dan kebiasaanya mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman khas dalam hal-hal kehamilan dan kelahiran bayi. 

Pada awalnya saya agak pelik mengapa mereka perlu datang ke rumah kita sedangkan ibu hamil lah yang perlu merujuk kepada klinik atau hospital untuk maklumat lanjut. Ini adalah prosedur pertama dan penting kerana akan mengambil masa yang agak lama. Bagi mengelakkan ketidakselesaan ibu yang hamil di trimester pertama, rumah adalah tempat yang paling selesa dan terbaik untuk berbincang. Buku rekod dicatat dan ia digelar green book di mana buku tersebut akan menyimpan semua rekod kehamilan sehinggalah bayi dilahirkan. Midwife yang datang ke rumah kami tidak putus mengucapkan tahniah kepada kami berdua, malah membawa saguhati percuma dan padat dengan maklumat yang berguna terutama buat kami yang tidak mempunyai sebarang pengalaman sebelum ini.

Glenda dan Helen yang sangat baik hati

Tarikh untuk perjanjian berikutnya juga dibuat, dan surat akan sampai ke rumah sebagai peringatan untuk tidak lupa pada next appointment iaitu scan bayi buat kali pertama. Teruja!

Bersambung....

Tuesday, 1 November 2016

Semoga Allah lindungi Afeef

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam, 31 Oktober 2016, adalah hari pertama Afeef dihantar ke bawah jagaan Taska. Hampir sebulan juga kami mencari pusat jagaan yang terbaik dengan mengambil kira lokasi dan juga bayaran bulanan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar semalam, dan semoga ia akan berterusan positif di masa akan datang.

Afeef adalah anak yang baik dan doa untuknya adalah yang baik-baik sahaja. Walaupun ada perasaan risau, bimbang, tetapi saya perlu yakin bahawa cikgu di pusat jagaan adalah yang boleh dipercayai dan sentiasa berfikiran positif sahaja. Tempoh lapan jam bekerja ini saya serahkan kepada cikgu tersebut untuk menjaga Afeef dan ada baki lagi enam belas jam untuk saya curahkan kasih sayang sebagai ibu dan mendidiknya dengan baik.

Enam belas jam ini saya perlu gunakan sebaiknya. Penat lelah saya sepanjang lapan jam akan terubat dengan melihat senyuman Afeef. Kesusahan yang saya alami akan terasa senang apabila dapat bermain dan bergelak tawa bersama Afeef.



Semoga Allah merahmati cikgu-cikgu, kawan-kawan dan pusat jagaan Afeef.
Semoga Allah sentiasa melindungi Afeef daripada segala musibah dan kesusahan.

Ibu sayang Afeef!

Dua Bulan Sudah di Tanah Melayu

Bismillahirrahmanirrahim

Jarak entri lepas dan entri ini terlalu lama. Blog juga sudah berhabuk dan kini saya sedang membersihkan habuk yang ada. Kehidupan saya berubah sejak tiba di Malaysia. Pengurusan masa saya semakin lemah dan saya dalam proses membaiki diri ke arah yang lebih positif. 

Saya bertanyakan soalan Apa Kata Hati di dalam entri lepas, dan Alhamdulillah hati saya mula menerima perubahan ini secara berperingkat. Perubahan cuaca, makanan, mata wang dan lain-lain lagi diterima secara perlahan-lahan. Tiga tahun di bumi asing adalah satu jangka masa yang panjang, dan bukan mudah untuk kami lupakan kenangan lalu dalam masa yang singkat...

Walau apa pun yang berlaku, saya kini sudah menerima kenyataan bahawa Tanah Melayu ini lah tanah kelahiran saya. Baik buruknya ditelan jua. Di sini juga saya perlu berjuang dan meneruskan perjalanan hidup bersama keluarga. Nikmat bertemu ayah bonda, adik beradik dan saudara mara adalah nikmat yang tiada bandingnya apabila di tanah air sendiri.

Kesibukan bekerja adalah satu cabaran buat saya. Saya bukan sahaja perlu menggalas tanggungjawab sebagai tenaga akademik, tetapi juga perlu menyelesaikan tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar yang masih belum selesai. Biarpun ramai yang mengerti bahawa PhD itu bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi hanya mereka yang betul-betul mengalami sahaja yang memahami.

Tulisan ini adalah untuk menyuntik kembali semangat yang semakin menipis untuk menulis. Saya perlu aktif menulis dalam apa bahasa sekalipun. Menulis memerlukan disiplin yang tinggi, dan membaca adalah salah satu fator utama yang akan membantu menghasilkan penulisan yang baik.

Pada tarikh 1 November ini, saya memulakan kembali semangat ini agar saya terus konsisten untuk menulis agar dapat menyiapkan tulisan research saya yang masih berbaki. Mohon kalian doakan saya.

Wassalam

1 November
FPQS, USIM


Wednesday, 10 August 2016

Menghitung Hari. Apa Kata Hati?

Bismillahirrahmanirrahim

Kurang dari dua minggu, saya bakal meninggalkan Tanah Inggeris. Sepatutnya saya pulang pada Mei yang lalu, tetapi dipanjangkan sedikit tempoh untuk menyiapkan penulisan. Masih juga belum selesai kerana tempoh perlanjutan yang diberi ialah sehingga Oktober, tapi visa kami sekeluarga tamat pada awal September. Lalu kami mengambil keputusan untuk pulang akhir Ogos atas sebab-sebab keluarga.

Selama tiga tahun tiga bulan ini, saya tidak pernah sekalipun pulang ke Tanah Melayu. Tiada duit untuk pulang? Ya, itu antara sebab utama. Antara sebab lain ialah saya mahu menikmati kehidupan di negara orang yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya mahu belajar di universiti dan juga memperolehi pengalaman di universiti kehidupan juga. Terlalu banyak saya belajar sepanjang tempoh ini dan terlalu banyak kenangan pahit manis yang tidak akan saya lupakan dan akan disimpan rapat di dalam memori kehidupan ini.

Sejujurnya jika diberi peluang untuk tidak pulang, saya memilih untuk tinggal di Tanah Inggeris. Ini pengakuan jujur. Saya hormati jurang perbezaan yang tinggi di antara dua tanah penjajah dan dijajah. Biarpun negara penjajah ini dipelopori oleh nilai-nilai Barat yang jauh dari Akidah Islam, tetapi banyak juga nilai-nilai Islam yang diterap di dalam sistem mereka. Benar bahawa ada segelintir masyarakat Barat yang menyokong Islamophobia dan anti-Islam, tetapi mereka bebas untuk tidak bertelagah dengan perkara kecil yang sering diulang-ulang oleh masyarakat kita. Perasaan menghormati perbezaan adalah antara perkara penting yang dipupuk oleh masyarakat di sini, dan juga tidak memikirkan apa yang difikir orang lain.

Hati saya berdebar-debar untuk pulang ke tanah air sendiri. Ini juga pengakuan jujur yang terpaksa saya akui. Kos hidup yang semakin tinggi, keselamatan anak-anak yang semakin tergugat, bebanan kerja yang melampau, semuanya menjadi antara faktor yang merisaukan. Saya khuatir tanggungjawab menjaga anak dan suami yang wajib itu akan ditutupi dengan tanggungjawab mencari rezeki dan mengelakkan kesempitan kewangan keluarga. Saya juga khuatir masa untuk bekerja lebih banyak diluangkan berbanding masa di samping keluarga. Saya sangat khuatir jika anak mencari kasih sayang di tempat lain kerana kekurangan kasih dan sayang ibu ayahnya.. Na'uzubillah min dhalik...

Tetapi jauh di sudut hati saya berkata untuk amalkan hidup besederhana. Keluarga adalah segalanya. Berjimat adalah langkah mulia. Kami perlu mengubah cara hidup kami untuk boleh hidup sempurna dan bahagia di tanah kelahiran sendiri. Ada tanggungjawab yang perlu saya langsaikan dan di Tanah Melayu dan Islam itu adalah tempat saya berbakti...

Terima kasih Birmingham kerana mendidik saya dengan caramu yang tersendiri..
Terima kasih untuk semua kenangan manis kita, kenangan yang pahit biarpun ada hanyalah sebagai kekuatan untuk saya bangun dan kembali berjuang..



Kamu akan sentiasa terpahat rapi di hati...

10 Ogos 2016
Edgbaston, Birmingham


Thursday, 14 July 2016

Eid Mubarak!

Bismillahirrahmanirrahim

Jika di entri lepas saya katakan ini Ramadan terakhir di bumi Birmingham, pastinya ia Syawal terakhir juga kami raikan di sini. Alhamdulillah atas nikmat Ramadan dan Syawal. Biarpun sedih atas pemergian Ramadan, Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Pastinya saya akan merindui saat manis menyambut Aidilfitri di perantauan. Ini kali keempat beraya di Birmingham, dan Alhamdulillah ianya adalah memori-memori indah yang tidak akan saya lupakan. Biarpun tiada baju atau kasut raya, apatah lagi membuat kuih raya, kami sangat gembira menyambut Syawal pada tahun ini. Semoga tahun ini kami menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan merebut peluang untuk sentiasa melakukan kebaikan di mana saja kami berada.

Mengambil peluang di dalam bulan Syawal ini untuk memohon maaf kepada semua kenalan yang saya kenali sama ada di alam nyata mahupun maya. Maaf zahir dan batin.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalallahuminna wa minkum

Friday, 24 June 2016

Ramadan Terakhir di Bumi Birm

Bismillahirrahmanirrahim

Salam Ramadan al-Mubarak daripada saya sekeluarga. Semoga ia tidak terlambat untuk meletakkan ucapan di blog ini biarpun fasa kedua Ramadan bakal berakhir dan pintu fasa ketiga Ramadan semakin hampir. Alhamdulillah atas nikmat bertemu Ramadan sekali lagi pada tahun ini. Alhamdulillah juga di atas kesempatan merasa panjangnya berpuasa di Tanah Inggeris untuk kali keempat.

Telah dicatatkan di media Inggeris bahawa Ramadan kali ini adalah tempoh terpanjang yang pernah dilalui (rujuk SINI). Tempoh menahan lapar dan dahaga dan segala perbuatan yang membatalkan puasa menghampiri 19 jam. Hanya lima jam sahaja berbaki untuk malam melabuhkan tirainya. Ia agak sukar sedikit pada lima hari yang pertama kerana cuaca agak panas, tetapi lama-kelamaan belasan jam itu terasa biasa.



Sejujurnya pada tahun lepas, saya memasang angan-angan untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri di tanah air pada tahun ini, tetapi atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, kami masih di bumi ratu ini. InsyaAllah ini Ramadan terakhir di Birmingham..

Saya memohon agar Allah memberi kesempatan untuk saya bertemu Ramadan lagi pada tahun hadapan dan mengampunkan dosa-dosa kami sekeluarga serta menerima amalan kami semua.

Aminn


Tuesday, 31 May 2016

Afeef Satu Tahun!

Alhamdulillah

30 Mei 2016, Afeef genap setahun. Tidak sangka begitu cepat masa berlalu dan begitu banyak kenangan pahit manis menjadi seorang ibu. Jujur saya katakan, masih terbayang-bayang detik air ketuban pecah, kesakitan contraction dan pengalaman melahirkan melalui caesarean. Sesungguhnya pengalaman ini terlalu berharga dan banyak memberi erti di dalam kehidupan kami sekeluarga. Kisah melahirkan Afeef pernah saya kongsikan suatu ketika dahulu di SINI.

Alhamdulillah

Afeef seorang yang sangat bijak. Sudah boleh berjalan ketika dia berumur sebelas bulan. Sudah boleh memanggil Ayah dan Ibu. Perkembangannya bertambah baik dari hari ke hari. Dia penghibur hati, pengubat duka lara, penyejuk mata, dan penyeri rumahtangga. Saya panjatkan seluruh rasa syukur kepada Allah kerana mengurniakan zuriat ini dan memohon agar dia menjadi anak yang soleh dan musleh, beriman dan berjaya dunia akhirat, InsyaAllah.


Allahumma faqqihhu fiddin wa 'allimhu al-takwil

Thursday, 26 May 2016

Empat Tahun

Bismillahirrahmanirrahim

Jika entri yang lepas saya kongsikan memori tiga tahun di Birmingham, entri kali ini ialah kisah ulangtahun perkahwinan kami yang keempat. Alhamdulillah saya bahagia. Sangat bahagia...

Mengenali suami pada tahun 2008 di sebuah kampung orang asli di Perak. Tidak pasti kampung yang diberi nama Pos Kerawak itu masih ada lagi atau tidak. Kami berdua mewakili persatuan yang berbeza untuk satu program dakwah bersama orang asli. Tidak pernah mengenali dia sebelum ini, dan bertukar nombor telefon di akhir program atas tujuan berkongsi gambar program. Allah mudahkan proses pengenalan dan kami bertunang pada 29 Oktober 2011 dan bernikah pada 25 Mei 2012.


Ulangtahun perkahwinan kami yang pertama disambut di Birmingham sehinggalah yang keempat ini kami masih di Birmingham. Cuma tahun ini, kami mencari sedikit kelainan untuk menyaksikan keindahan alam di Durdle Door, Dorset, England. Ini merupakan percutian terakhir kami sebelum Ramadan tiba dan sebelum kami pulang ke Malaysia.



Sepanjang empat tahun ini, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan seorang suami yang sangat baik, penyabar, boleh bertoleransi, sentiasa berkerjasama, selalu memahami dan terlalu banyak kebaikan dia sepanjang kami bersama. Dia tidaklah sesempurna Nabi, saya juga tidak sempurna, tetapi kami saling menyempurnakan antara satu sama lain. Tipulah jika kami tidak pernah bergaduh, tetapi tidak lama dan tidak salah untuk salah seorang mengaku salah dan saling memaafkan. Afeef adalah anugerah terindah buat kami, dan kami berdoa agar dikurniakan lagi zuriat pada masa yang sesuai nanti InsyaAllah.

Saya berdoa agar rumahtangga kami sentiasa disuburi iman dan cinta, kasih dan sayang, serta mawaddah, sakinah dan rahmah.

Semoga kami diberi kesabaran dan kekuatan jika dilanda ujian, dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri.

Semoga Allah berkati setiap detik perkahwinan ini dan mengampunkan dosa-dosa kami.

Semoga kami kekal bahagia hingga ke syurga yang tertinggi.

Wednesday, 18 May 2016

Wordless Wednesday: Four Seasons of Love


Three of us
Three years
Four seasons
Countless and endless love

Sunday, 15 May 2016

Tiga Tahun

15 Mei 2016

Genap tiga tahun kami berpijak di Bumi Birmingham. Terlalu cepat masa berlalu sehinggakan saya tidak menyangka yang akhir bulan ini genaplah Afeef berumur satu.

Tiga tahun ini terlalu banyak kenangan manis yang tidak akan dilupakan, juga kenangan pahit yang akan saya jadikan pengajaran. Tiga tahun ini sangat bermakna buat saya sebagai seorang pelajar, kerana tujuan utama berhijrah secara sementara di Tanah Inggeris ini adalah untuk belajar dan terus belajar. Saya pasti, soalan pertama yang akan ditanya ketika pulang nanti ialah: "sudah habis belajar ke?", dan saya juga pasti yang saya akan menjawab "belum."



Tiga tahun ini saya banyak belajar. Belajar tentang erti kehidupan. 

Hidup sebagai Muslim di negara bukan Islam yang banyak mempraktikkan nilai-nilai Islam..
Hidup sebagai seorang isteri yang banyak mematangkan diri sendiri dan mengharungi susah senang bersama suami yang dicintai..
Hidup seorang anak yang jauh di perantauan tetapi mewajibkan diri untuk terus berbakti walaupun mereka jauh di mata, tetapi dekat di hati..
Hidup sebagai seorang ibu adalah detik terindah dan pengalaman melahirkan anak pertama di bumi asing adalah sesuatu yang sangat berharga..
Hidup sebagai seorang pelajar yang semakin saya belajar, semakin sedar tentang ceteknya ilmu di dada..
Hidup sebagai seorang sahabat yang saling membantu dan menghargai antara satu sama lain..

Saya juga sedang belajar menerima hakikat bahawa saya akan pulang ke tanah air kelahiran tidak lama lagi. Hanya berbaki tiga bulan lagi...

Semoga sisa baki saya di Birmingham diredhai Ilahi dan tidak sabar rasanya menyambut Ramadan terakhir di sini di mana puasanya hampir dua puluh jam sehari...

Saadah Khair
Birmingham
15052013 - 15052016


Monday, 9 May 2016

Setiap Hari adalah Hari Ibu?

Bismillahirrahmanirrahim

Di United Kingdom, Hari Ibu disambut pada bulan Mac. Berbeza dengan Hari Ibu di Malaysia yang disambut pada hari ahad minggu kedia pada bulan Mei. Jika diikut kalendar tahun ini, Hari Ibu Malaysia jatuh pada hari semalam 8 Mei 2016.

Sayangnya, masyarakat Malaysia masih berdebat tentang hukum sambutan Hari Ibu. Ada yang kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Saya tidak mahu menggunakan hukum halal dan haram kerana impaknya akan jauh lebih besar. Debat tentang hukum ini berlanjutan setiap tahun. Ya, setiap tahun. Dan saya hanya pandang sebelah mata sahaja jika terlihat diskusi tentang hukum tersebut, bukan kerana tidak mahu ambil tahu, tetapi tidak mahu menjadi orang yang sama duduk di dalam lubang yang sama, yang tidak mahu mencari solusi.

Saya tertarik dengan perkongsian Saiful Nang di Facebook. Memetik sedikit kata-kata beliau:

"Adakah betul kita sambut hari ibu setiap hari? 
Kenapa tidak kita sambut maulid setiap hari?
Kenapa tidak kita sambut harijadi setiap hari?
Kenapa tidak kita sambut hari merdeka setiap hari?

Kerana ini semua ceremonial sahaja. Biarpun jika betul asalnya kerana keraian kelahiran icon besar agama lain, tetapi adakah yang haram itu memperingati ibu dan memberi ucapan SELAMAT HARI IBU sambil membuat orang lain teringatkan tentang ibu mereka ATAUPUN kerana asbab mula hari ibu itu dimulakan mereka?

Mana yang baik kita ikut. Yang buruk kita tinggalkan. Jika tarikh hari ibu itu diambil sempena ceremonial agama lain sekalipun, bukankah selama setahun ia jadi satu asbab untuk kita ingat ibu kita sendiri?
Salah?

Jika salah...umukanlah satu hari ibu ikut kalendar Islam pula. Yang kata hari ibu hari-hari. Tak perlu tepek kenyataan ustaz sana-sini jika ustaz sana dan ustaz sini pun masih bercanggah kerana tidak balikkan kepada Quran?

Lihat pada yang baik untuk diambil walaupun dari yg bukan Islam, yang buruk, tinggalkan dengan baik."



Lalu saya bertanya kepada diri sendiri.. 

Adakah saya sambut Hari Ibu setiap hari? Adakah saya telefon Emak setiap hari walaupun saya yakin yang saya doakan Emak dan Ayah setiap hari.. 

Tahun ini, saya telefon Emak dan mengucapkan Selamat Hari Ibu awal sedikit pada hari Jumaat lepas. Ternyata bahawa dia gembira dengan ucapan anaknya yang jauh. Saya tidak mampu memberi apa-apa hadiah tahun ini, tetapi saya mengharap agar doa saya adalah hadiah terbaik agar Emak sentiasa dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik, dan semoga Allah berikan ganjaran yang terbaik buat Emak kerana melahirkan, mendidik dan menjaga saya dengan baik. Walaupun saya tidak rapat dengan Emak, tetapi setelah menjadi Ibu, ada beberapa naluri keibuan yang saya mengerti kini yang dahulunya saya tidak mengerti. Ucapan Selamat Hari Ibu saya sudah memadai untuk menggembirakan hati Emak yang jauh di mata...


Doa dan restu Emak terlalu penting di dalam hidup saya!


Dan saya pun bertanya kepada diri sendiri lagi...

Adakah saya akan gembira jika Afeef mengucapkan Hari Ibu kepada saya apabila dia besar nanti? Ya, hati saya akan berbunga-bunga. Tidak perlu sambutan besar, atau bunga dan hadiah yang mahal, ucapan tersebut sudah cukup menggembirakan hati seorang Ibu. Tetapi jika dia terlupa suatu hari nanti, Ibu maafkan dan redha kerana Ibu tidak mengharapkan apa-apa balasan melainkan doamu sebagai bekal di Akhirat kelak..

Selamat Hari Ibu!

Tuesday, 8 March 2016

Resilience

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam berpeluang menghadiri satu bengkel di UoB mengenai bagaimana untuk 'survive' dalam phd. Tajuknya mudah iaitu 'resilience' dan saya baru mengerti apakah maksud sebenar perkataan tersebut.

Sebelum bengkel bermula, saya membuka kamus online di telefon bimbit apakah yang dimaksudkan sebagai 'resilience'. Kamus tersebut memberi dua definisi: (1) the power or ability to return to the original form, position, etc. after being bent, compressed, or stretched; elasticity. (2) the ability to recover readily from illness, depression, adversity, or the like; buoyancy. Tetapi saya masih gusar, apakah kaitan di antara 'resilience' dan juga phd?

Di awal bengkel, penceramah memberikan definisi dengan panjang lebar tetapi ia sangat mudah difahami apabila beliau menyebut "its how you deal with tough times". Dan saya baru memahami 'resilience' adalah kebolehan seseorang untuk menghadapi kesukaran atau kesusahan.

Di akhir bengkel, baru saya mengerti betapa pentingnya kekuatan di sebalik kesusahan. Bukan mudah untuk mendapat Phd, dan seseorang itu akan lebih berjaya apabila dia berjaya berhadapan dengan kesusahan secara positif. Yeah, positif...

Bengkel yang berlangsung hanya satu jam tersebut banyak memberi impak positif kepada saya. Sesungguhnya di saat kesibukan yang melanda kini, saya lebih perlukan kata-kata motivasi dan semangat untuk saya tidak berhenti berjuang. Saya suka apabila diingatkan berulang-kali KENAPA saya menyambung ke pengajian phd? Kerana semangat saya di awal tahun pertama di Birmingham sangat berbeza dengan semangat yang masih berbaki di akhir pengajian ini. Saya harus kembalikan semangat tersebut dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Bersihkan niat. Betulkan semula niat. Dan perbaiki niat dari masa ke semasa..

Saya tahu saya boleh. Kesusahan yang saya hadapi sekarang adalah untuk mencapai kesenangan pada hari akan datang, jika saya masih diuji dengan kesusahan, saya pasti pasti ada manis dan peringatan di dalam setiap kesusahan.

Semoga saya terus tabah dan terus berusaha. 

yeah!
keep moving
and
keep writing
:)


Thursday, 18 February 2016

Surirumah: 'Housewife' atau 'Homemaker'?

Bismillahirrahmanirrahim

Penat menulis tesis, saya mengambil masa yang terhad ini untuk menulis di blog pula. Sekurang-kurangnya sekali, saya perlu catatkan sesuatu di sini. Kali ini, saya berminat untuk mengupas tentang satu pekerjaan mulia iaitu surirumah.

Jujurnya, tidak pernah terlintas di dalam hati suatu ketika dahulu untuk menjadi surirumah. Bagi saya, seorang wanita berpendidikan tidak salah untuk menyumbang sesuatu untuk agama dan bangsa, dan berdikari untuk mencari rezeki sendiri. Bekerja secara halal, memelihara maruah diri dan mendapat keizinan daripada suami. 

Tetapi...

Persepsi saya mula berubah sedikit demi sedikit apabila saya bergelar ibu. Saya merasakan kebahagiaan yang luar biasa apabila berada di rumah sepanjang masa, melihat perkembangan anak di depan mata, dan menikmati kerja-kerja rumah dengan hati yang rela. Anak menjadi keutamaan saya, di samping suami yang juga adalah kepentingan utama. Persepsi saya juga berubah kepada wanita yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi fokus sepenuhnya kepada pendidikan anak. 

Saya mengenali beberapa wanita hebat yang mempunyai Phd, tetapi bekerja sebagai surirumah sepenuh masa. Mereka menggunakan pendidikan dan ijazah yang diperolehi untuk kepentingan anak-anak, terutama anak-anak yang masih kecil dan sangat memerlukan perhatian. Pengaruh negatif yang terlalu banyak pada zaman kini ditakuti memberi kesan kepada anak-anak kecil, oleh itu, ramai ibu yang berikhtiar untuk mengelakkan pengaruh tersebut dengan menjadi insan penting dan membentuk anak yang soleh dan musleh di rumah masih-masing. Dengan itu, timbulnya istilah seperti homeschooling dan menekankan kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Persoalan penting ialah bagaimana dengan kemampuan keluarga jika hanya suami seorang bekerja?

Malaysia kini mengalami kegawatan ekonomi yang hebat. Harga barang semakin naik. Pendidikan tidak percuma. Perubatan juga perlukan kos yang tinggi. Lalu wang dan simpanan harta menjadi keperluan utama.

Oleh yang demikian, timbul satu istilah iaitu 'homemaker' untuk para wanita yang menjadi surirumah dan bekerja sambil mencari pendapatan di rumah. Ada yang berpendapat bahawa istilah 'homemaker' dan 'housewife' itu tiada beza. Malah, ada juga yang datang dengan istilah lain iaitu 'domestic engineer' bagi mereka yang fokus kepada urusan domestik rumah.

Menurut kamus Cambridge English Dictionary:

Homemaker: a person who manages a home and often raises children instead of earning money from a job. Dan mereka tidak semestinya wanita, kerana ada juga lelaki yang memilih untuk menjadi homemaker.

Housewife: a woman whose work is inside the home, doing the cleaning, cooking, etc. and who isually does not have any other job. Dan perkataan 'wife' merujuk kepada wanita sahaja.

Dan saya memilih istilah 'homemaker' berbanding 'housewife' kerana tidak semua 'house' ialah 'home'. 'Home' ialah istilah merujuk kepada rumah yang didiami dengan penuh rasa cinta dan bahagia bersama keluarga. Dan istilah 'home' tidak diukur dengan besarnya sebuah rumah, tetapi kebahagiaan yang dirasai oleh setiap penghuni rumah.


Malah, 'homemaker' juga merujuk kepada mereka yang menjadikan urusan rumah sebagai fokus utama, tetapi mampu membahagikan masa mereka kepada pendidikan anak dan keperluan anak. Mereka juga bijak mencari pendapatan sendiri tetapi tidak mengabaikan tanggungjawab utama. Ramai wanita zaman kini yang memilih untuk bekerja di rumah. Pekerjaan yang dilakukan termasuklah berbisnes secara online, membuka kelas memasak, menjahit, mengaji di rumah, dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya mereka menyumbang sesuatu untuk menambah pendapatan keluarga.

Tidak sabar rasanya untuk saya menjadi seorang 'homemaker' suatu hari nanti...


Wednesday, 3 February 2016

Thank you Husband!

Dear my husband,

Thank you for everything
I should thank you everyday and not only once in my life
I should thank you for every single thing that you've sacrificed for me
I should thank you for being a wonderful man yesterday, today and tomorrow
You are my husband, my hero

I should thank you for taking care of our son together
I should thank you for not complaining to swap duty and change nappy
I should thank you for showing your highest love to our baby
I should thank you for staying with us during our joy and sorrow
You are his great father, his hero

I am sorry if I forgot to say thank you
I am sorry if I seem not appreciating you
I am sorry if I carelessly putting burden on you

Thank you for everything
And you must never forget that I will and always love you


2nd February 2016
Orchard Learning Resource Centre
Birmingham, UK

Tuesday, 2 February 2016

Lima Hari Berharga di Fes & Tangier

Bismillahirrahmanirrahim

Sehingga kini, saya masih merindui kota Maghribi. 

Kembara ke Morocco sebenarnya terinsipirasi daripada sepupu saya dan isterinya yang mengembara ke Morocco pada akhir 2014. Itinerari yang dikongsikan mereka adalah panduan utama perjalanan kami pada awal Disember 2015. Tetapi pada awalnya saya tidak tahu bahawa passport Malaysia memerlukan visa untuk masuk ke Morocco, dan sepupu saya yang memegang passport Singapura boleh masuk ke Morocco tanpa visa. Urusan visa menjadikan semangat saya agak kendur, tetapi saya cari juga info tentang permohonan visa di UK dan Alhamdulillah ia tidak sesukar yang dijangka.

Dokumen utama yang diperlukan untuk memohon visa di UK ialah:
1. Borang permohonan visa yang boleh dimuat turun dari laman web kedutaan Morocco
2. Passport original dan satu salinan
3. Visa UK original dan satu salinan
4. Surat universiti yang membuktikan anda adalah pelajar
5. Slip gaji (3 Bulan) dan satu salinan (untuk suami saya)
6. Penyata bank (3 bulan) - setiap seorang
7. Tiket masuk/pulang ke Morocco sama ada feri atau kapal terbang
8. Bukti tempahan hotel yang sah
9. Insurans keluarga selama berada di Morocco (saya guna moneysupermarket.com)
10. Pos order berharga £16 setiap satu untuk setiap passport. Boleh cek harga visa di laman web.

Semua dokumen di atas di hantar pos secara special delivery ke kedutaan Morocco, London beserta sampul surat ke alamat sendiri yang sudah dibayar nilai pos juga secara special delivery untuk mereka pulangkan dokuman asal. Alhamdulillah, kami menerima dokumen asal kami beserta cop visa selepas dua hari. 

Tangier

Tangier adalah kota pelabuhan di Morocco dan satu-satunya jalan laut untuk masuk ke negara ini. Tetapi ada dua port yang berbeza, dan saya membeli tiket ke Tangier Med yang bergerak daripada Algeciras, Spain. Feri yang kami naik sebenarnya adalah feri kenderaan dan barang-barang, dan rupa-rupanya hanya kami bertiga adalah penumpang yang digelar 'walking passenger'.

Alhamdulillah semua perjalanan dipermudahkan, dan kami menginap dua malam di Dar Rif 17 Rue Mohamed Bergach, Tangier , 90300, Morocco, dengan servis yang terbaik.

Stesen keretapi Tangier
Kota Tangier
Masjid tertua di Tangier, sangat berhampiran dengan hotel kami
Singgah di bandar Tetouan, dan tidak berkesempatan ke bandar biri Chefchouan

Fes

Di Fes, kami juga menginap di Airbnb selama dua malam di Dar Warda. Pengalaman yang sangat berharga dan terlalu banyak yang ingin dicerita, cuma masa untuk menulis di blog agak terhad, jadi saya kongsikan beberapa gambar untuk kenang-kenangan.

Bab Boujloud, pintu utama masuk ke Fes el-Bali
Kedai-Kedai di dalam Fes el-Bali
Tiada kenderaan dibenarkan masuk ke dalam kawasan Fes el-Bali.
Ia dipelihara di bawah UNESCO World Heritage dan menjadi kawasan terbesar tanpa kenderaan bermotor di dunia.
Keldai ada di merata-rata.
Airbnb kami yang sangat cantik. Usah pandang luaran
Kawasan membuat barangan kulit
Masjid al-Qarawiyyin. Alhamdulillah berpeluang solat Jumaat di dalamnya.
Sejujurnya, ada banyak ingin saya kongsikan di sini, tetapi masa sangat mencemburui saya dan ada yang lebih penting untuk saya tulis iaitu tesis kajian saya. InsyaAllah satu hari nanti saya akan kongsikan dan berhasrat untuk kembali ke kota Maghribi yang lain seperti Casablanca dan Marrakech.

InsyaAllah...


Friday, 29 January 2016

Maafkan Ibu



Air mata saya mencurah laju apabila membaca puisi di atas.
Ayat yang paling menyentuh hati saya ialah I'm only little a short time...

Dan betapa benarnya kenyataan tersebut bahawa anak kita hanya kecil buat sementara sahaja. Dia akan membesar dan tidak selamanya kecil. Dia akan berhenti menangis dan tidak selamanya bergantung harap kepada ibunya. Selama lapan bulan umur Afeef, saya tidak pernah melupakan bagaimana dia dilahirkan dan sangat bahagia dengan kehadirannya. Tetapi hari ini saya kalah.. Kalah dengan emosi sendiri. Terbawa-bawa dengan urusan keluarga dan studi.

Maafkan ibu ya sayang kerana tidak memahami,
Maafkan ibu ya sayang kerana terlalu beremosi,
Maafkan ibu ya sayang kerana mengikutkan hati yang berapi,

Maafkan ibu juga kerana membiarkan kamu menangis sendiri,
terlalu banyak kekurangan ibu selama ini,
Ibumu masih belajar menjadi ibu
Ibumu masih terkapai-kapai memenuhi permintaanmu
Ibumu masih cetek pengalaman dan ilmu..

Maafkan Ibu...

Tuesday, 12 January 2016

Isu Breastfeeding

Bismillahirrahmanirrahim

Tahun lepas, Malaysia kecoh dengan isu susu ibu dan susu lembu (boleh baca komen saya di SINI). Beberapa hari pada awal tahun baru ini, isu lain pula hangat diperkatakan iaitu 'brelfie' - breastfeeding selfie - mengambil gambar selfie saat menyusukan anak dan memaparkannya di laman sosial. Sebagai ibu yang menyokong sepenuhnya breastfeeding anak sehingga umurnya dua tahun, beberapa pengalaman tersebut dikongsikan untuk catatan peribadi.

Ilmu breastfeeding
Saya sangat cetek ilmu tentang breastfeeding ketika bujang dan adalah kesilapan saya mempelajari ilmu breastfeeding hanya selepas bersalin anak pertama. Pada pendapat peribadi, ilmu berkaitan penyusuan bayi dititik-beratkan bagi ibu-ibu mengandung seawal bayi di dalam kandungan. 

Bilik Menyusu
Di United Kingdom, Alhamdulillah bilik untuk menyusukan anak disedikan di kebanyakan pusat membeli-belah. Saya temui bilik yang sama ketika kembara ke Sepanyol. Beberapa istilah digunakan untuk merujuk kepada bilik tersebut, antaranya Parent's Room, Feeding Room, Baby Changing Room, Lactation Room, Baby Care Room, dan Subhanallah ia sangat selesa. Ada kerusi khas yang disediakan untuk ibu menyusukan anak, malah ada beberapa bilik yang menyediakan microwave dan cerek untuk tujuan yang sewajarnya. Bilik-bilik yang saya temui selama ini sangat selesa sehinggakan saya dan suami boleh solat dan istirehat di dalamnya. Walaupun orang barat tidak menjaga aurat seperti Muslim, tetapi kemudahan seperti ini disediakan dan digunakan untuk maslahat semua. Ada juga yang saya pernah temui menyusukan anak tanpa segan silu di jalanraya, tetapi kita boleh buat pilihan dengan bijak.

Bilik ini bukan sahaja menyediakan kerusi selesa, tetapi kawasan untuk menyalin lampin bayi, sinki, kerusi makan bayi, dan juga microwave. Boleh masuk secara percuma walaupun bukan menjadi pelanggan kedai ini. Lokasi: Mothercare, Birmingham

Bayaran masuk ke bilik ini sama seperti masuk ke tandas yang disediakan iaitu 60sen euro. Ia berbayar kerana terletak di dalam stesen besar keretapi, kawasan perlancongan. Dilengkapi kerusi, salinan lampin bayi, tandas, sinki, microwave dan juga lampu warna-warni yang cantik untuk menarik perhatian kanak-kanak. Lokasi: Stesen keretapi Madrid Atocha.

Bilik ini tidak bernama, tetapi simbol botol susu jelas menunjukkan bahawa bilik ini disediakan khas untuk mnyusukan bayi. Ia dilengkapi dengan kemudahan menukar lampin bayi. Lokasi: Birmingham

Sekiranya saya tidak temui bilik menyusu ketika mengembara, dan Afeef menangis kelaparan, saya akan cari cafe dan duduk di satu sudut yang paling terpencil untuk menyusukannya, sambil menikmati kopi panas.

Nursing Cover
Ia boleh didapati dengan harga sekitar £10-£15 dan lebih murah jika beli yang terpakai (boleh bid di ebay). Saya sengaja beli nursing cover yang cantik dan baru dengan alasan agar bersemangat untuk menyusukan Afeef. Saya gunakan ia di mana-mana terutama di kawasan yang saya tidak temui bilik menyusu, di dalam kapal terbang, bas, keretapi, malah di majlis yang hadirinnya bercampur lelaki dan wanita. Sekiranya tidak mampu membeli nursing cover, bolehlah menggunakan selendang/shawl lebar untuk melindungi maruah peribadi.

Contoh nursing cover. Foto daripada Google.


Jelaskan kepada anak
Afeef semakin besar dan pergerakannya sangat aktif. Kadangkala, dia bergerak kuat dan tanpa sengaja terselak tudung atau nursing cover yang menutupi apa yang harus ditutup. Tidak salah untuk jelaskan kepada bayi bahawa aurat ibunya tidak boleh dilihat orang lain dengan sengaja, dan elakkan untuk dilihat secara tidak sengaja. InsyaAllah bayi kecil jika dinasihatkan dengan selalu, mereka akan faham dan boleh melindungi maruah ibunya.



Suami yang sabar
Alhamdulillah suami sangat memahami. Menyusukan anak di luar rumah terutama ketika mengembara sangat memerlukan sokongan suami. Ini kerana tempoh menyusukan bayi akan mengambil masa ketika dalam perjalanan. Suami juga adalah pelindung kepada aurat isteri untuk tidak dilihat ajnabi.

Gambar
Saya juga mengambil gambar ketika menyusukan anak, tetapi tanpa mendedahkan aurat, dan tidak dikongsi untuk tatapan umum. Cukuplah sekadar kenangan bahawa saya pernah berhenti di hadapan sebuah bangunan atau taman di Sepanyol semata-mata untuk menyusukan Afeef. Menjadi kenangan untuk diceritakan kepada anak pada suatu hari nanti.



Wednesday, 6 January 2016