Sunday, 29 December 2013

Selamat Tinggal 2013

2013 bakal berakhir..

Alhamdulillah tahun ini mengajar saya banyak perkara. Impian untuk meneruskan kembara ilmu adalah satu perjalanan kehidupan yang sangat bermakna pada tahun ini. Hanya Allah yang permudahkan segala ujian yang saya tempuhi sepanjang tahun ini dan saya bersyukur kerana ujian-ujian tersebut mematangkan kehidupan ini.

Selamat datang 2014.

Kami menunggu kehadiranmu dengan sejuta impian.

Mimpi itu percuma. 

Selamat membina mimpi!




Tuesday, 24 December 2013

Raya & Hadiah

Meriahnya depa beraya!

Bulan Disember dipenuhi dengan sambutan Krismas yang rata-ratanya disambut oleh penganut agama Kristian. Seperti Aidilfitri dan Aidiladha yang berkaita rapat dengan aspek keagamaan, Krismas juga dipercayai menyentuh aspek agama yang mereka percaya biarpun kebanyakan yang mneyambutnya mengambil remeh tentang agama dan bagi mereka sambutan ini hanyalah sekadar menyempurnakan tarikh 25 Disember.

Saya tidak berniat untuk menyentuh sejarah tarikh tersebut dan bagaimana wujudnya perayaan Krismas di kalangan penganut Kristian. Tetapi saya tertarik dengan budaya memberi hadiah pada tarikh tersebut yang memberi kegembiraan yang tidak dijangka. Sila tonton video berikut:



Air mata saya bergenang kegembiraan. Terharu. Seronok tidak terkata. Alangkah bahagianya jika apa yang dihajati itu dikabulkan serta merta.

Saya yakin mereka di zaman moden ini tidak lagi mempercayai Santa Claus yang hanya direka-reka. Tetapi mereka percaya bahawa hadiah yang diberi oleh Santa Claus itu sebenarnya adalah dari orang yang terdekat di kalangan mereka. Memberi sesuatu atau hadiah kepada orang lain adalah sumber untuk mengukuhkan tali persaudaraan atau persahabatan yang mereka jalinkan, dan perkara ini tidak dilarang di dalam Islam.

Menerima hadiah adalah sesuatu perkara yang menggembirakan. Tidak kiralah kecil atau besar hadiahnya atau berapa harganya, asalkan pemberinya ikhlas, penerimanya pasti bergembira.

Bukankah hidup ini untuk memberi sebanyak-banyaknya..

Saya cuma terfikir, bolehkah hari raya Aidilfitri nanti kita tukar konsep duit raya dengan hadiah hari raya, yang mungkin jauh lebih bermakna?

Friday, 20 December 2013

Jumu'ah Mubarakah: Muslim Women

.
.
.

Hopefully one day, I can be a mother as well :(

Monday, 16 December 2013

Tarbiyyah Membuang Sampah

Alhamdulillah.

Urusan pindah rumah tempoh hari berjalan dengan sempurna. Rumah yang kami diami sekarang sangat berhampiran dengan kawasan universiti dan tidak perlu lagi menunggu tren dan berjalan jauh seperti dahulu.

Semestinya uurusan pindah rumah perlu menitik-beratkan aspek kebersihan. Rumah yang ditinggalkan perlu bersih dan rumah yang akan didiami juga perlu bersih. Kebersihan mencerminkan keimanan dan ia perlu dilatih dan dididik, terus menjadi satu tabiat baik yang berterusan.

Saya benar-benar kagum bagaimana orang Inggeris dididik untuk menjadi pembersih. Tempat pembuangan sampah langsung tidak berbau jika dibandingkan dengan negara kita. Disebabkan bulan pindah rumah inilah saya berpeluang pergi sendiri ke pusat kitar semula yang disusun rapi mengikut kategori tertentu.

Pintu masuk dikawal ketat. Setiap kereta akan ditahan di pintu masuk oleh pengawal keselamatan dan mereka akan memberi maklumat tentang tong yang sesuai untuk diletakkan barang-barang buangan yang dibawa. Poskod rumah juga akan ditanya kerana kawasan yang kami kunjungi dikhaskan untuk penduduk Birmingham sahaja.

ruangan kotak dan sampah umum
ruangan kayu dan papan terpakai

Pengunjung perlu meletakkan barang terpakai di tong yang tepat, dan barang-barang terpakai tidak dihadkan hanya kepada kotak atau pakaian, malah alat elektronik termasuk TV dan lain-lain juga boleh diletakkan di dalam tong-tong yang disediakan. Ada pengawal yang akan menegur jika meletakkan bahan buangan di tong yang tidak sesuai. Boleh rujuk laman web INI untuk maklumat lanjut.

Dengan didikan sebegini, mereka akan rasa bersalah jika buang di tong yang salah. Akan lebih bersalah jika hanya membuang di depan rumah tanpa mengkelaskan barang-barang buangan. 

Boleh ke jika ia dipraktiskan di Malaysia? atau negara-negara Islam yang lain?

Saya berpendapat perkara seperti membuang sampah juga berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Biarpun saya juga kadangkala pernah membuang sampah merata-rata, pemerhatian saya terhadap bagaimana Barat dididik untuk membuang sampah cukup buat saya 'terpukul' dengan gelaran saya sebagai seorang Muslim.

Selamat membuang sampah dengan betul, dan elakkan diri daripada menjadi sampah masyarakat.

Wednesday, 11 December 2013

Tuesday, 3 December 2013

Umur Berapa?

Benarkah bahawa wanita gerun jika ditanya tentang umur?

Mengikut pendapat peribadi, saya tidak kisah jika umur saya diketahui ramai. Tetapi bukan itu persoalannya. Hampir tujuh bulan di Negara Inggeris ini saya belajar banyak perkara. Di antaranya ialah budaya bertanya tentang umur di kalangan pelajar antarabangsa tidak pernah ditemui sepanjang berinteraksi dengan mereka. Mereka lebih gemar bertanya tentang negara asal dan tajuk penyelidikan berbanding umur dan pangkat.

Saya fikir ia juga akan dicontohi oleh pelajar Melayu tetapi sangkaan saya silap.

Apakah motif di sebalik bertanya tentang umur?

Adakah kerana untuk menghormati yang lebih tua? Bukankah kita harus menghormati antara satu sama lain biarpun umur kita berbeza.

Adakah kerana umur yang angkanya besar itu lebih besar ilmu dan pengalamannya? Mungkin ya dan mungkin tidak, kerana saya pernah temui seorang wanita yang lebih muda umurnya tetapi lebih hebat karakternya.

Adakah kerana ia telah menjadi budaya?

Peringatan untuk diri sendiri, Allah SWT telah berfirman: "Hai manusia, seseungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kami di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahu lagi Maha Mengenal." (Surah alHujurat, 49: 13)


Wallahua'lam.

Budaya Menulis Buku


Tulis.

Bukan mudah untuk menulis biarpun kita mempelajarinya sejak mengenal A B C. Untuk menulis entri ini pun saya cukup gementar menyusun kata kerana saya tahu saya bukan seorang penulis yang baik. Saya hanya tahu mencoret itu dan ini tetapi saya tetap merasakan bahawa saya bukan menulis yang baik.

Menulis memerlukan teknik yang tepat. Menulis cerpen tidak sama dengan menulis artikel ilmiyyah. Menulis di surat khabar juga berbeza dengan menulis di blog peribadi. Sehingga kini saya tidak pasti tulisan apa yang saya mampu tulis biarpun saya harus berjuang menulis 80,000 patah perkataan untuk tesis PhD.

Saya selalu mendapat komentar negatif dari penyelia kerana hasil tulisan saya yang mengelirukan. Salah bahasa atau isi yang melayang atau kemahiran yang kurang?

Walaubagaimanapun, saya teringin menjadi penulis yang baik. Teringat pesanan seorang Professor di UIAM, beliau berkata: "I will stay alive at your library even I'm passed  away". Betul-betul memberi kesan yang mendalam kepada diri saya untuk menulis sesuatu yang bermanfaat dan dijadikan rujukan kepada orang lain. 

Untuk entri ini, saya tiada tips yang direka sendiri tetapi sekadar berkongsi tips yang saya temui. Mungkin ia boleh membantu kita semua.




Akhir kata,


Wednesday, 27 November 2013

Budaya Membaca Buku


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. Perintah membaca yang disebut di dalam ayat pertama Surah al-‘Alaq ini adalah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril AS. Perintah ini meyakinkan bahawa membaca adalah satu aktiviti yang dituntut di dalam Islam, bukan hanya diperintahkan untuk Rasul yang terakhir semata-mata, malah kepada seluruh umat manusia.

foto dari SINI

Membaca adalah salah satu cara mendapatkan ilmu, tetapi ia juga adalah medium untuk mencintai sesuatu ilmu. Ilmu tidak akan datang bergolek sekiranya tidak dicari. Dan sedihnya sekiranya buku yang kita baca tidak mengandungi sebarang ilmu atau terkandung di dalamnya ilmu yang salah dan bertentangan dengan agama.

Oleh itu, "kita adalah apa yang kita baca". Sama seperti dengan "kita adalah apa yang kita makan". Jasad memerlukan sesuatu, dan ruh dan akal juga memerlukan sesuatu. Makanan akal ialah apa yang kita baca dan perhatikan dari dunia sekeliling kita.

Membaca perlu dijadikan sebagai budaya yang tidak ditelan zaman. Ia perlu dipupuk sejak kecil, dan saya berbesar hati mengatakan Ayah lah yang mendidik saya mencintai buku. Buku yang dibeli Ayah pasti dibaca biarpun bacaannya tidak selalunya dari kulit ke kulit. Jaga dan tidurnya pasti ada buku di sisi Ayah. Saya juga senang begitu apabila buku kadang-kala menjadi teman terbaik untuk berbicara.

Pernah dengar kata-kata ini: "Too many books, too little time"? Terlalu banyak buku, terlalu sedikit masa. Kebiasaannya kita akan menyalahkan masa kerana kita tidak mengatur waktu dengan baik. Masa tidak pernah salah kerana telah ditetapkan bahawa setiap manusia mempunyai 24 jam, tidak lebih dan tidak kurang. Oleh itu, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk membaca koleksi buku yang kita ada.

#1: Meletakkan prioriti bacaan.
Saya tertarik dengan entri yang dikongsi seorang rakan di mana beliau berkongsi teknik prioriti di dalam buku The Art of Reading tulisan Agus Setiawan. Teknik tersebut ialah dengan meletakkan prioriti bacaan mengikut turutan berikut:
1) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu ain
2) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu kifayah (menurut bidang yang diceburi)
3) buku-buku yang berfaedah yang sifatnya harus dibaca

#2: Meletakkan sasaran.
Bukankah gagal merancang itu ialah merancang untuk gagal? Membaca juga perlukan perancangan. Letakkan sasaran tertentu seperti 1 buku 1 bulan atau 1 bulan untuk muka surat yang tertentu.

#3: Jangan beli buku baru.
Ini juga adalah cara untuk mendisiplinkan diri sendiri untuk menamatkan bacaan buku-buku yang telah dibeli tanpa menambah buku baru di dalam koleksi.

#4: Baca di mana-mana.
Tidak salah jika buku menjadi teman seperjalanan atau teman menunggu. Budaya ini saya lihat diamalkan secara sihat di negara Barat dan Jepun. Mereka membaca sambil berdiri, duduk berdua atau berseorangan, baring di padang dan ketika menunggu lampu isyarat. Saya yakin membaca bukanlah sesuatu aktiviti yang memalukan, malah menggalakan orang di sekeiling kita juga untuk turut membaca.

Bersambung dengan Budaya Menulis Buku pada entri berikutnya.

Akhir kata,



Selamat Membaca!

Monday, 25 November 2013

Budaya Membeli Buku


Setiap daripada kita pastinya mempunyai minat terhadap sesuatu sehingga sanggup melaburkan wang untuk memperolehi apa yang diidamkannya. Ada di antara kita yang sanggup berhabis duit hanya untuk membeli beg tangan berjenama, periuk keluaran luar negara, baju yang ada satu sahaja di dunia, cincin berlian dan permata, dan apa sahaja untuk memenuhi kepuasan dunia.

Tetapi pernahkan kita berhabisan wang untuk membeli buku? Ya, buku. Tertarik dengan gambar di bawah ini yang bermaksud: Ada sesuatu yang jika anda beli dan akan membuatkan anda makin kaya: BUKU.


Budaya membeli buku ini saya perolehi daripada ayah. Koleksi buku peribadinya memenuhi ruang tamu rumah kami. Apabila masuk ke universiti, minat membeli buku itu datang dengan sendiri. Ada sahaja buku yang ingin dibeli khususnya apabila ada rakan-rakan yang berkongsi sinopsis sesuatu buku. Pantang juga mendengar jika ada pesta jualan buku atau diskaun yang diadakan di kedai buku, pasti saya menyinggah. Biaupun kadang-kadang tiada wang, cukuplah membeli satu buku yang paling murah daripada terkilan keluar daripada kedai buku dengan tangan kosong.

MPH atau kinokuniya menjadi tempat kegemaran apabila mengunjungi pusat membeli-belah. Kadang-kadangkala cuci mata di kedai buku lebih menarik kerana boleh juga baca isi kandungan beberapa buku. Tetapi, timbul satu persoalan di minda adakah semua buku yang dibeli itu akan dibaca atau hanya dijadikan hiasan semata-mata?

Sepanjang perhatian dan pengalaman, ada beberapa tips yang boleh digunakan sebelum membeli buku.

#1: Bandingkan harga
Cari kedai buku yang membuat tawaran diskaun atau hadir ke acara perasmian buku kerana kadang-kadang ia menawarkan harga yang lebih murah. Boleh juga cari buku terpakai kerana ia jauh lebih murah. Sekiranya membeli secara atas talian, cari syarikat yang menawarkan pos percuma atau yang paling murah.

#2: Kaji buku dan penulisnya
Tidak rugi jika tahu serba sedikit tentang buku yang ingin dibeli, apatah lagi jika penulis buku tersebut banyak memberi inspirasi. Jangan pilih atau buku yang cantik luaran sahaja tetapi isinya tidak memberi manfaat, bukankah sudah ada pepatah 'Don't judge book by its cover'

#3: Kegunaan sepanjang hayat
Pilihlah buku yang bukan digunakan untuk sehari dua tapi boleh diguna-pakai (dibaca semula) sepanjang zaman

#4: Kualiti
Ambil kira juga kualiti kertas dan kulit buku sekiranya untuk simpan buku tersebut dalam jangka masa yang lama. Ada yang lebih gemar buku berkulit keras dan ada juga yang tidak kisah, asalkan isinya bermanfaat.

#5: ...
Kadang-kala tidak perlu fikir panjang, tambahan pula dompet masih tebal, belilah sahaja buku tersebut jika sudah berkenan untuk memiliki dan menghadamnya. Itu ciri 'bookaholic' yang sebenar.

what about YOU?

Jika sudah membeli buku tetapi tidak membacanya, tiada guna juga.

Bersambung dengan Budaya Membaca Buku  di entri yang berikut.

Sunday, 17 November 2013

'Ibrah Dari Batu-Bata


Berpeluang ke Bath tempoh hari dapat menyaksikan lagi tinggalan sejarah di Tanah Inggeris. Menyebut nama 'Bath', ia tidak bermaksud mandi tetapi sebuah nama daerah di England yang terletak lebih kurang 82 batu daripada Birmingham. Bath telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada tahun 1987, dan nama Bath diambil bersempena dengan kedudukannya yang terletak di kawasan sumber air panas. Kebanyakan reka bentuk bangunan di Bath banyak dipengaruhi seni bina Rom. Di antara yang masyhur ialah The Roman Bath, The Circus dan The Royal Crescent.




Tidak jauh daripada Bath (perjalanan satu jam), kami singgah ke Stonehenge di mana terletaknya batu-bata gergasi di padang yang lapang. Lokasi ini sangat popular apabila gambarnya dijadikan 'background' di komputer atau ditampal di dinding. Ramai pelancong yang mengunjungi Bath pasti akan ke Stonehenge yang terletak di Wiltshire, England.




Sepanjang berada di Stonehenge, saya terfikir apa tujuan sebenar saya melihat batu-bata ini. Wang masuk yang dibayar sebanyak £8 (£7.50 untuk pelajar) rasanya agak rugi jika sekadar 'tawaf' di sekeliling batu-bata ini tanpa memikirkan pengajaran yang boleh diperolehi daripada lokasi ini.

Ya, benar bahawa ia adalah sejarah yang dijaga oleh British agar dapat dilihat oleh generasi akan datang kerana dipercayai bahawa ia telah dibina pada tahun di antara 2000-2500 sebelum Masihi. Malah terdapat pertikaian mengenai usia sebenar batu gergasi ini. Tujuan ia dibina juga terdapat beberapa pendapat yang berbeza. Boleh baca selanjutnya di SINI.

Sepanjang perjalanan mengelilingi Stonehenge, saya teringat dua batu penting yang telah tercatat di dalam sejarah Islam.

Batu pertama ialah Hajar Aswad. Ia adalah batu hitam kecil yang telah menyebabkan Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai al-Amin dan kerananya, baginda telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Arab buat kali pertama sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. 

Hajar aswad dipercayai berasal daripada syurga berdasarkan hadith berikut: Dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak adam) menyebabkannya menjadi hitam". [Riwayat Ahmad dan Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani]

Hajar aswad terletak di salah satu penjuru ka'bah dan menjadi tempat bermula dan berakhirnya tawaf. Sehinggi kini, batu ini menjadi tumpuan bagi mereka yang ke Mekah untuk mengucupnya kerana Nabi SAW telah berbuat demikian sebagaimana telah dilakukan oleh para Nabi sebelumnya. Namun begitu, mengucup batu ini bukanlah satu amalan wajib kerana hasrat mengucupnya banyak menimbulkan kesan yang tidak baik. Oleh kerana itu, Saidina Umar al-Khattab telah berkata: "Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah SAW mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu"

Batu kedua ialah batu yang telah dipijak Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra' Mi'raj. Berdasarkan al-Quran, ayat 1 Surah al-Isra', Rasulullah SAW telah dibawa dari Masjid al-haram ke Masjid al-Aqsa, dan menurut sirah, kaki baginda telah mendarat di atas batu tersebut. Disebabkan kekuasaan Allah, batu tersebut telah terapung kerana memuliakan Rasulullah SAW.

Kini, batu tersebut terletak di Masjid al-Aqsa dan dijaga rapi. Sila rujuk SINI untuk maklumat lanjut.

Setiap batu ada kisah yang tersendiri. Tidak adil sekiranya membandingkan ciptaan Tuhan dan ciptaan manusia. Saya pasti batu-batu di Stonehenge itu disusun mengikut idea manusia tetapi hakikat sebuah batu itu adalah tetap ciptaan Yang Esa.

Batu, rumput, awan, gunung, laut dan semua makhluk di muka bumi ini adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. CiptaanNya tiada bandingan dan pujian hanyalah perlu kembali kepadaNya. Dan setiap pengembaraan itu adalah sumber untuk memikirkan ciptaan Tuhan dan mengambil pengajaran dari setiap apa yang telah berlaku suatu ketika dahulu.

Allah SWT telah berfirman: "Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Al-Hajj 22:46)

Selamat meneruskan pengembaraan!

Friday, 15 November 2013

Jumu'ah Mubarakah: Help Yourself


Indeed, Allah will not change the condition of a people 
until they change what is in themselves (13: 11)

*Allahummaghfirli ya Rabbi

Sunday, 10 November 2013

Hotel & Heater

Tidur di hotel memang mengujakan. 
Tetapi tidur di hotel tanpa penghawa dingin lebih mengujakan!

Sepanjang lima bulan di Tanah Inggeris, ini kali pertama kami bermalam di hotel. Travelodge dipilih kerana harganya lebih murah. Alhamdulillah selesa biarpun wifi-nya perlu dibayar!

Sedang asyik berehat, tiba-tiba suami bertanya: "Eh, tiada air-cond ke?"

Mata saya terus tertumpu pada satu alat seperti penghawa dingin tetapi terletak di dinding bahagian bawah dan mengeluarkan udara panas. Logik juga jika tiada penghawa dingin kerana udara di luar sangat lah dingin!

Izinkan tuan hamba beradu dulu ya, esok mahu teruskan kembara melihat keajaiban dunia.

Salam dingin,

Travelodge Beckington
11.20pm, 9 November.

Friday, 1 November 2013

Monday, 28 October 2013

Satu Jam Ke Belakang

Musim panas sudah berlalu.

Angin bertiup kencang dan daun-daun pun berguguran.

Musim luruh ini saya menyaksikan kejadian alam yang mengasyikkan. Pokok mewarnakan diri mereka sendiri. Dari hijau, bertukar merah, kuning, oren dan akhirnya gugur kekeringan. Saya boleh simpulkan bahawa Tuhan adalah Pencipta warna terhebat dan Perancang segala sesuatu.




Detik 27 Oktober saya alami satu perkara baru apabila waktu berundur satu jam ke belakang. Ia bermakna jarak waktu UK dan Malaysia bukan lagi tujuh jam tetapi lapan jam. Ini juga adalah keajaiban yang Tuhan ciptakan di negara-negara yang mengalami empat musim. Sejuk sudah menggigit tulang dan dengarnya salji akan mencium bumi tidak lami lagi.

Dan detik-detik ini, saya sangat merindui matahari dan hangat tanah tumpah Malaysia.

Sesungguhnya segala perasaan kagum kepada ciptaan alam hanyalah selayaknya ditujukan kepada Pencipta yang terhebat agar kita semua termasuk dari kalangan orang-orang yang bersyukur.


Allah SWT berfirman: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang adadi langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan semua Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya." (Surah Yunus: 101)

Wednesday, 23 October 2013

Bahasa

"Dengan bahasa kita bisa menguasai ilmu 
dan tanpanya kita akan berada di dalam kegelapan (kebodohan)"

Foto ihsan Google

Bahasa memainkan peranan yang sangat penting. Tanpa mengabaikan bahasa peribumi, bahasa lain juga turut dipelajari. Tetapi apa yang paling penting ialah bahasa perlu dipraktiskan bukan hanya menelan teori semata-mata.

Setakat ini saya hanya fasih berbahasa Melayu dan boleh memahami bahasa Inggeris dan Arab secara sederhana. Tidak malu untuk mengaku bahawa di Tanah Inggeris ini saya terasa masih merangkak berbahasa Inggeris apabila dikelilingi bangsa Inggeris. Tetapi saya tidak malu untuk terus belajar kerana bahasa Inggeris banyak membantu kehidupan saya berjalan lancar di bumi asing. 

Oleh kerana tidak mahu melupakan bahasa Arab, saya sengaja menghadiri kelas bahasa Arab. Biarpun kelasnya berbayar, bahasa syurga ini perlu terus saya kaji. Setelah lima bulan tidak bertutur dalam bahasa Arab, nampaknya saya perlu konsisten untuk mengaplikasikan bahasa al-Quran dalam kehidupan harian.

Alhamdulillah kelas bahasa Inggeris disediakan percuma di universiti untuk pelajar asing. Kebanyakan yang hadir bermata sepet dan berhidung penyek seperti saya. Sedikit sebanyak, ada ilmu baru yang saya perolehi.

Pernah menghadiri kelas bahasa German di uia tetapi terbengkalai. Mempunyai hasrat tinggi untuk mempelajari bahasa Perancis, insyaAllah.

Apapun, bahasa nusantara tetap di hati :)

Thursday, 10 October 2013

Kali Keempat

Alhamdulillah

Belajar adalah suatu proses yang panjang dan tidak akan berhenti. Saya masih belajar dan akan terus belajar. Biarpun kertas cadangan saya sudah diterima saya akan tetap belajar. Setelah tiga kali ditolak oleh penyelia, saya akan tetap belajar. 

Kali ini, emel penyelia diterima dengan senyuman bukan tangisan.

Teruskan usaha Saadah!


Wednesday, 9 October 2013

Belajar Islam di Negara Bukan Islam


"Why you study Islam in non-Muslim country?"

Soalan itu buat saya tergamam seketika. 

Semester baru sudah bermula dan saya mengambil peluang yang ada untuk menghadiri apa sahaja kelas atau workshop untuk menambah ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya saya sangat teruja. Cara mereka belajar tidak jauh berbeza tetapi amalan menghormati pandangan orang lain menjadi budaya positif dikalangan pengajar dan pelajar.

Kembali semula kepada soalan yang diajukan tersebut, saya dicadangkan oleh teman perbincangan untuk membentangkan kertas penyelidikan saya. Sejujurnya, saya masih terikat dengan 'budaya malu & rendah diri' ditambah pula dengan 'budaya takut salah', jadi saya menolak cadangannya untuk membentangkan kertas saya. Tetapi atas desakan positif rakan sebelah, saya beranikan juga walaupun mata seluruh rakan sekelas sudah menerkam saya.

Alhamdulillah saya mendapat komen yang positif. Apa yang saya takutkan bukanlah kelemahan diri sendiri, tetapi isu yang disentuh dalam penyelidikan saya iaitu berkenaan Islam dan Wanita.

Setelah tamat perbincangan, beberapa pelajar di sekeliling saya berdiskusi tentang tajuk masing-masing, dan timbul tentang persoalan yang diajukan di awal entri ini.

Kenapa belajar Islam di Negara bukan Islam?

Apa yang saya jawab pada gadis Hong Kong tersebut ialah Islam boleh dipelajari di mana-mana dan memilih Negara bukan Islam adalah satu pilihan yang terbaik untuk memberi gambaran sebenar tentang Islam itu sendiri. Apabila masyarakat lebih mempercayai media tentang gambaran Islam, sebagai Muslim saya bertanggungjawab untuk membersihkan gambaran yang tidak baik tentang Islam di dalam media kepada masyarakat, khasnya berkaitan eksploitasi terhadap wanita.

Apa yang saya tidak jawab kepada gadis tersebut ialah tanggungjawab seorang Muslim ialah menyampaikan yang ma'ruf dan mencegah yang munkar, dengan kata lain ialah dakwah.

Selepas perbualan tersebut, saya semakin berfikir secara mendalam apa tujuan saya mempelajari Islam di Negara bukan Islam, walaupun saya melihat banyak nilai-nilai Islam telah dipraktiskan di Tanah Inggeris ini. Persoalan tersebut sebenarnya membuka minda saya untuk terus menghargai tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim lebih daripada diri saya sebagai pelajar PhD. 

Benarlah kata-kata Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam".

Tuesday, 8 October 2013

Buku: Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam

Penerbit: Interface Publications (2007)

Rasanya masih tidak lewat untuk memperkenalkan buku ini biarpun hampir dua tahun saya masih membaca dan mengulang bacaan yang sama. Buku ini sebenarnya adalah muqaddimmah atau pengenalan kepada 40 bab buku yang mengumpulkan ulama wanita di dalam bidang hadith. Sebagai pengenalan, buku ini adalah bacaan terbaik untuk mengetahui bahawa wanita juga mempunyai sumbangan yang sangat besar di dalam bidang hadith.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Imam al-Dhahabi di dalam kitabnya Mizan al-I'tidal, tiada seorang perawi wanita pun yang diragui kesahihannya dalam merawikan hadith Nabi SAW. Biarpun jumlah perawi wanita tidak seramai perawi lelaki, tetapi nama seperti Aishah, Ummu Salmah, dan Hafsah tidak perlu diperkenalkan bagi mereka yang mendalami ilmu hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi wanita juga dikatakan tidak diragui kesahihannya, malah banyak dijadikan dalil-dalil penting dalam aspek kewanitaan. Telah disebut di dalam buku ini bahawa sebanyak 2,764 hadith telaha diriwayatkan oleh perawi wanita seperti yang terkandung di dalam kutub sittah.

Dr. Akram Nadwi banyak memberikan contoh-contoh hadith yang telah diriwayatkan oleh perawi wanita di dalam buku ini dan memberi banyak perhatian kepada sumbangan mereka di dalam ilmu hadith. Perawi wanita yang disebut sebagai al-Muhaddithat ini juga menjadi rujukan penting oleh ulama-ulama besar seperti Imam al-Zuhri, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ibn al-Jawzi, Imam al-Dhahabi, Imam ibn 'Asakir dan ramai lagi.

Buku ini juga menyenaraikan ulama-ulama wanita secara ringkas mengikut waktu-waktu yang tertentu. Kegemilangan mereka dikatakan berterusan pada kurun pertama Islam sehingga kurun ke-15 selepas hijrah dan bilangan mereka semakin berkurangan setelah itu atas sebab-sebab yang tertentu.

Secara keseluruhannya, buku ini menggambarkan bahawa wanita juga memainkan peranan yang sama pentingnya seperti lelaki di dalam ilmu hadith kerana mempelajari hadith adalah cara terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW dan sejarah hidup baginda. Sebagai sumber Islam kedua yang terpenting selepas al-Quran, hadith adalah subjek yang menjadi perhatian golongan Islam dan bukan Islam kerana kandungan hadith melengkapkan al-Quran dan membantu Muslim untuk mengamalkan Islam sebagai gaya hidup yang sebenar.

Tuesday, 1 October 2013

Thursday, 26 September 2013

5 Aplikasi Android Untuk Pengembara

Bismillahirrahmanirrahim

Ingin saya kongsikan beberapa aplikasi android yang digalakkan ada di telefon bimbit pintar pengembara, khas untuk di United Kingdom dan umum untuk negara-negara lain.

1. Google Maps


Membantu untuk melihat peta kawasan dan jarak tertentu dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Ada pilihan pengangkutan sama ada menaiki kereta, kenderaan awam, basikal atau berjalan kaki. Kemudahan untuk navigasi ke destinasi juga disediakan. 

2. Expedia


Aplikasi ini membantu untuk membuat pilihan penerbangan dengan menyenaraikan tarikh pilihan dan harga yang disusun mengikut kemampuan pengguna. Pengguna juga boleh terus menempah tiket penerbangan dan juga hotel di destinasi berkenaan. Tawaran juga disediakan kepada pengguna.

3. National Rail


Aplikasi ini khas untuk pengguna tren dan keretapi di United Kingdom. Pengguna boleh memeriksa waktu dan catatan perjalanan ke sesebuah stesen tren dan melihat pengumaman penting sekiranya ada kelewatan atau masalah yang berlaku. Maklumat tentag platform menunggu juga disediakan.

4. Trip Advisor


Aplikasi ini sangat membantu jika pengembara ingin mengetahui sesebuah destinasi yang menjadi pilihan kepada para pelancong. Maklumat secara ringkas juga disediakan. Malah, pengguna boleh mendapat maklumat tentang hotel dan restoran berhampiran. GPS diperlukan untuk mengakses aplikasi ini.

5. Qibla Compass


Bagi pengembara Muslim, solat lah walau di mana anda berada. Aplikasi ini membantu untuk menujuk arah kiblat sekiranya tiada maklumat disediakan khasnya di negara bukan Islam. Sekiranya aplikasi ini tidak memberi petunjuk yang tepat, tidak salah untuk bertanya penduduk yang beragama Islam atau bertawakal kepada Allah agar segala Ibadah diterima. Tidak tahu arah kiblat tidak wajar menjadi alasan untuk tidak solat.

Wednesday, 25 September 2013

Wordless Wednesday: Rindu



Speechless.
Rindu.

Semoga Allah merahmati Emak, Ayah dan seluruh ahli keluarga.
Selamat Hari Lahir Bonda!

Tuesday, 24 September 2013

Kelas Kek

Di Malaysia, kek mudah didapati dan terjamin halal. Oleh itu, saya sering mengambil langkah mudah untuk membelinya atau menempah dengan rakan-rakan yang membuat bisnes kek. Pernah juga membuat kek dengan kakak kerana kepuasan membuat sendiri ternyata berbeza.

Sejak menetap di luar negara, setiap makanan perlu diteliti dari aspek kandungannya dan perlu memastikan ianya halal. Ia tidak lah sukar untuk dicari tetapi pilihannya agak terhad kerana kebanyakan kek mengandungi unsur alkohol. Ini menjadi sebab utama kepada pelajar Malaysia untuk membuat kek mengikut kepuasan masing-masing.

Kek pertama saya sempena ulangtahun ke __ di Birmingham

Saya juga tidak terkecuali untuk belajar membuat kek. Kadang-kadang perasaan itu berbelah bahagi tapi jika tidak belajar, sampai bila saya akan hanya mengatakan 'saya tidak reti'. Akhirnya, kelas kek yang saya hadiri adalah kelas untuk membuat dekorasi kek menggunakan fondant. Ternyata ia adalah satu ilmu baru yang mengujakan.

Di antara bahan yang diperlukan ialah: silicon rolling pin panjang dan pendek, silicon mat, pallet knife, wilton colours, cake smoother, apron, trex, fondant.

Sebelum memulakan apa-apa, basuh tangan bersih-bersih, keringkan dan buang segala macam cincin dan gangguan di tangan.

Dan yang paling penting ialah: Be creative & Be yourself

Tema Hijau Kuning :)


Terima kasih kak Iffa kerana berkongsi ilmu, juga kepada rakan sekelas, Kak Imah dan Kak Aya yang sentiasa memberi inspirasi.

Jika berminat untuk sertai kelas kek di Birmingham, boleh hubungi Kak Iffa di laman muka buku beliau di SINI.

Agak-agak balik Malaysia nanti buat kek sendiri tak?

*gulp*

Sunday, 15 September 2013

Solat Berjemaah

Tidak dinafikan bahawa semua di antara kita sedar tentang kebaikan solat berjemaah seperti yang telah dinyatakan di dalam hadith berikut:

Daripada  Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”

Ada juga hadith yang menyatakan pahala sola berjemaah ialah dua puluh tujuh kali ganda. Apa yang penting ialah pahalanya berkali ganda daripada solat bersendirian.


Saya tidak mahu mengulas tentang pahala tersebut, tetapi sekadar memperingati diri sendiri tentang kepentingan solat berjemaah bersama keluarga, terutama di antara suami dan isteri. Alhamdulillah saya rasakan solat berjemaah adalah kunci utama kebahagiaan rumahtangga. Jika ada perselisihan sekali pun, solat berjemaah itu adalah solusi terbaik kerana lima waktu setiap hari itu akan sentiasa memperbaiki hubungan kita dengan Tuhan dan juga pasangan.

Saya berdoa kepada Allah agar solat berjemaah yang kami laksanakan setiap hari bukanlah hanya di awal perkahwinan tetapi berpanjangan sehingga kami pergi menghadap Ilahi kelak.

Amin!

Thursday, 5 September 2013

Hijab, Tudung & Sewaktu dengannya



"Wear what you wear and be proud of yourself! Don't worry what other people think"


Video ini membuka minda kita untuk mengetahui pandangan mereka yang bukan beragama Islam tentang Hijab, tudung dan sebagainya. Kebanyakan mereka ruapanya tahu dan sedar apakah itu Hijab.

Sepanjang berada di Tanah Inggeris, ada secalit perasaan mengatakan ada segelintir bangsa berkulit putih memandang sinis terhadap mereka yang memakai hijab (seperti saya). Biarpun Islam merupakan di antara agama kedua terbesar yang dianuti oleh penduduk UK, tetapi pemakaian hijab tidak diberikan keutamaan dan masih dipandang asing.

Di Birmingham, bilangan Muslim lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain di UK. Oleh yang demikian, tidak hairan untuk melihat wanita berhijab ada di mana-mana biarpun bekerja di pusat membeli-belah. Kebanyakan mereka berasal daripada Pakistan dan Afrika. Ada juga berbangsa arab yang menetap di sini. Tetapi masih ada juga yang berfikiran negatif kepada mereka yang berhijab.

Buktinya, jika berjalan dengan suami dan ada bangsa kulit putih yang mahu bertanya atau menyapa, mereka tidak memandang saya dan terus berinteraksi dengan suami.

Buktinya, seorang rakyat Malaysia (kawan kakak saya) yang menetap di UK dan berkahwin dengan warga UK mengalami masalah interaksi dengan masayarakat setempat kerana bertudung.

Buktinya, jika saya yang menawar harga ketika membeli barang, agak sukar untuk mendapat harga murah kerana tudung membuktikan saya warga asing.

Tetapi ada juga yang berfikiran positif seperti bertanya adakah saya berasal dari Malaysia atau Indonesia. Ada juga yang senyum dan menyapa ramah. Ada juga yang tidak kekok berinteraksi dengan mereka yang berhijab seperti kami.

Kesimpulannya, usah peduli apa orang kata, tetapi peduli apa Allah kata.

Leila Ahmed, seorang feminist pernah mengatakan bahawa hijab hanya sesuai dipakai oleh para isteri Nabi dan tidak sesuai dipraktikkan kini juga telah mengubah pendapat peribadinya setelah mendapati wanita yang berhijab kini telah mendapat tempat di mana-mana dan bukan penghalang untuk mereka berjaya. Boleh baca buku barunya bertajuk A Quiet Revolution.

Hijab itu bukan penyebab Muslimah ditakuti.
Hijab itu bukan penyebab Muslimah diperangi.
Hijab itu bukan penyebab Muslimah dipandang rendah sekali.

Hijab itu tuntutan dalam agama.
Bukan tuntutan fesyen dan sebagainya
Bukankah Tuhan sudah berkata: 
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara keaibannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jilbab)nya ke dadanya”. (QS. An-Nur : 30-31)

Sampaikanlah walau satu ayat!

Tuesday, 3 September 2013

Naik Minyak, Kurangkan Minyak

Dua hari selepas tarikh kemerdekaan Malaysia yang ke 56, harga minyak petrol naik lagi. Ramai yang memberi komen tentang isu kenaikan harga minyak. Ada yang berfikiran positif dan ada yang bertindak negatif. Pilihan di tangan anda. 

Saya tidak berani sentuh hal politik tapi harga minyak yang naik bakal memberi impak yang besar terutama bagi mereka berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak semua dari kita hidupnya senang biarpun hati mereka sentiasa senang.

Kenaikan harga minyak tidak memberi efek kepada kehidupan saya di tanah Inggeris. Di UK, harga minyak turun dan naik mengikut harga minyak dunia. Setiap stesyen minyak mempunyai harga yang berbeza-beza. Pengguna berhak memilih stesyen mana yang menawarkan harga yang lebih rendah.

Alhamdulillah saya tidak perlu memikirkan hal minyak kereta. Hampir empat bulan tidak berkenderaan, hati saya senang, jiwa kami juga tenang. Tidak perlu memikirkan minyak kereta, parkir kereta, basuh kereta, dan apa jua yang berkaitan dengan penjagaan kereta. Malah saya dan suami seronok berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam bersama.

Kemudahan pengangkutan awam di England sangat mesra pengguna. Bas tidak sahaja dinaiki warga muda, tapi juga warga tua dan golongan kurang upaya. Keretapi sangat menetapi waktu (kecuali kawasan yang sedang dalam penambah-baikan tapi ada pengumuman awal sekiranya lewat). Lorong untuk pejalan kaki juga disediakan di semua kawasan. 'Zebra Line' diberikan keistimewaan kepada mereka yang mahu melintas jalan. Pemandu yang tidak memberi laluan kepada pejalan kaki boleh disaman.

Jika ke universiti, saya mengambil masa hampir 15 minit berjalan kaki dari rumah ke stesen keretapi. Kemudian berhenti di perhentian yang ketiga dan seterusnya berjalan kaki menuju ke perpustakaan dengan mengambil masa dalam 7-8 minit. Rutin harian ini hanya akan dirasa keperitannya jika hujan lebat dan mempunyai temujanji dengan penyelia di awal pagi.

Saya masih simpan niat untuk memiliki kenderaan di UK sehingga benar-benar memerlukannya nanti. Selagi kami masih punya kudrat untuk berjalan kaki dan 'enjoy' dengan pengalaman ini, saya tidak perlu risau dengan kenaikan harga minyak lagi.

Bas merah yang menarik perhatian saya di Coventry
Selesa dengan meja
Surat khabar percuma untuk pengguna setiap hari
Kemudahan suis disediakan di dalam keretapi
Ada bilik air dan juga bilik menukar lampin bayi
Stesyen yang diberi nama 'university' di dalam University of Birmingham.

Ayuh berfikiran positif. Harga minyak yang naik mungkin suatu titik untuk kita mengubah cara hidup. Ya benar bahawa kenaikan minyak bakal menaikkan semua harga pasaran di Negara. Mungkin boleh berjalan kaki atau merancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum bergerak menggunakan kenderaan masing2. Masak sendiri tentunya menjimatkan dan kurangkan makanan yang berminyak dan berkolestrol tinggi.

Kesimpulannya, jangan cepat melatah.

Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi.

Semoga Allah merahmati Malaysia dan rakyatnya.

Wednesday, 28 August 2013

Tulis

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat.

Saya menulis bukan kerana nama, bukan juga untuk mendapatkan perhatian sesiapa. Saya menulis untuk mengharapkan keredhaan Tuhan kerana redha Dia itu pelengkap segalanya.

Saya tidak pandai menulis. Sejak dulu karangan Bahasa Melayu tidak pernah mendapat A, sama juga dengan Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab. Tapi saya suka membaca. Tulisan penulis buat saya senang, hidup dalam dunia tanpa gangguan.

Saya cemburu dengan penulis. Meluahkan kata-kata indah dan bisa buat pembaca berfikir.

Saya cemburu kerana saya mahu menulis. Tetapi tulisan ini kerdil dan tidak dipandang.

Sejak kebelakangan ini, apa yang ditulis semuanya ditolak. Sedihnya. Terasa tidak layak sungguh menulis kertas cadangan phD. Huh Phd? Layakkah aku??

Tetapi saya tetap menulis.

Bukankah banyak penulis ternama mempunyai pengalaman buruk sebelum tulisan mereka diterima?

Bukankah penulis juga perlu belajar dari kesilapan dan tidak mengulanginya?

Secara akademik, menulis tidak boleh menurut kata hati. Ia berlu bersandarkan fakta dan dalil yang menyokongnya. Di mana perlu saya letakkan hati ketika menulis?

Tetapi saya tetap menulis.

Biarpun salah atau pun cacat, sudut kecil hati ini berkata: "Tulisan ku pasti akan dibaca dunia"

Sedang mahu membaca buku ini:

Gambar di ambil dari SINI

Selamat melakar kata!

Thursday, 22 August 2013

Buku: Aku Melayu di Kota Inggeris

Penulis: Muhaimin Sulam

Buku ini dibeli beberapa minggu sebelum saya menjadi di antara bangsa Melayu di Kota Inggeris. Tertarik dengan tajuknya, tetapi begitu lambat dihabiskan untuk buku setebal 277 muka surat kerana apa yang dirasakan penulis juga dirasakan saya sebagai pembaca.

Penulis merupakan graduan University of Wales Trinity St David, Lempeter dan kini telah menamatkan pengajian PhD (Syabas!). Buku ini merupakan travelog dan catatan perjalanan beliau di United Kingdom. Menggunakan teknik perbandingan, banyak isu yang disentuh penulis melibatkan keadaan bangsa Inggeris dan Melayu di mana kedua-duanya mempunyai kelemahan dan keistimewaan yang tersendiri.

Saya suka apabila bangsa Inggeris dikritik kerana selama ini bangsa Melayu terlalu memuji mereka sehingga alpa bahawa mereka pernah menjajah kita. Walaupun demikian ada beberapa aspek di mana bangsa Inggeris jauh lebih baik daripada kaum Melayu seperti contoh kebersihan, nilai-nilai murni, keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Malah Melayu juga tidak kurang hebatnya cuma kadang-kadang kita terlalu merendahkan diri sehingga direndahkan oleh orang lain.

Isu politik yang diutarakan oleh penulis banyak memperlihatkan bahawa beliau condong ke arah pihak yang tertentu. Dan sebagai penganalisis politik, ada beberapa fakta yang boleh diterima pakai dan boleh diusulkan untuk dipraktikkan di Malaysia demi membersihkan kembali politik tanah air yang semakin keruh. Saya bukan penggemar politik, tetapi politik menjadi di antara salah satu sebab punca keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.

Pengalaman berpuasa yang dialami penulis turut dirasakan saya, malah tahun ini tempoh waktu berpuasa lebih lama iaitu 18 jam. Alhamdulillah pengalaman ini sungguh berharga. Ada beberapa lokasi yang dilawati penulis sengaja saya kuningkan untuk saya kunjungi suatu hari nanti.

Sebagai pembaca yang juga menyambung belajar di kota Inggeris ini, saya mengharapkan lebih daripada buku ini. Suka sekiranya penulis berkongsi tips bagaimana beliau boleh menghabiskan Phd dengan baik, hubungan beliau dengan penyelia, atau pengalamannya menulis tesis dan menghadiri seminar atau viva. Dalil-dalil Quran yang digunakan penulis adalah bagus sebagai rujukan tetapi saya mohon agar penulis selidik kembali kata-kata ini:

"Aku nampak ramai orang Islam di Timur tetapi aku tidak nampak Islam. 
Sebaliknya aku tidak nampak ramai orang Islam di Barat tetapi aku nampak Islam"

Saya mendengar kata-kata ini ketika saya menuntut di UIAM dahulu dan setahu saya ia adalah pendapat Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam". Tetapi menurut penulis, ia adalah kata-kata Syeikh Ahmad Deedat yang didengarnya dari sebuah kuliah (halaman 160).

Sajak yang dinukilkan penulis untuk bapanya di halaman terakhir buku ini buat mata saya bergenang. Semoga Allah merahmati ayah dan emak dan berikan kesihatan buat mereka di tanah air.

Secara keseluruhan, buku ini menarik dan boleh disambung dengan siri kedua :)

Wallahua'lam

p/s: Adakah perlu saya menulis pengalaman selama tiga bulan lebih di Kota Inggeris? *jawabdalamhati*